02 November 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 1 Nov. –
Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad mengakui bahawa dia tidak akan terlalu
berhati-hati dalam final Piala Malaysia Sabtu ini biarpun selang dua hari
kemudian perlu melaporkan diri menyertai kem latihan Harimau Malaya.
SYAFIQ AHMAD tetap memberikan
komitmen bagi membantu Kedah mempertahankan kejuaraan dalam final Piala
Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini walu pun dipanggil menjalani latihan
skuad Harimau Malaya.
Kedah bakal menentang Johor
Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam dan pemain yang mendapat panggilan
skuad kebangsaan daripada kedua-dua pasukan itu perlu melapor diri di Wisma FAM
Isnin depan. Pemain daripada pasukan lain perlu melapor diri Sabtu ini.
Pemain yang berasal dari Pulau
Pinang itu mengakui dia tidak mahu mengalami sebarang kecederaan jika
diturunkan dalam aksi final Piala Malaysia, bagaimanapun itu bukan bermakna
tidak akan memberi komitmen sepenuhnya.
“Siapa yang mahu cedera? Begitu
juga dengan saya, bagaimanapun saya perlu mengutamakan aksi final Piala
Malaysia bersama Kedah terlebih dahulu sebelum melaporkan diri bersama pasukan
kebangsaan. Tidak dinafikan, apa-apa boleh berlaku di atas padang.
“Jujurnya, memang saya takut
cedera namun apabila kita beraksi di atas padang kita sudah tidak ingat apa-apa
kerana yang bermain dalam fikiran pada waktu itu adalah mahukan kemenangan.
Sudah pasti saya mahu membantu Kedah mempertahankan Piala Malaysia.
“Saya perlu mendapatkan rehat
secukupnya bagi mengurangkan risiko menerima kecederaan ketika bermain,”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syafiq termasuk dalam senarai
24 pemain yang dipilih oleh jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada yang akan
mengharungi dua perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea
Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini.
“Ini adalah kali pertama saya
dipanggil menyertai kem kebangsaan di bawah kendalian Vingada dan pastinya satu
penghargaan buat diri saya sendiri dan berbangga kerana dipilih daripada yang
terbaik,” ujar pemain berusia 22 tahun itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-kedah-dahulu-baru-harimau-malaya-8217-1.546185#ixzz4xQKlh6MI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan