ARKIB : 25/03/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
Pemain Kedah, Ahmad Fauzi
Shaari (kiri) berebut bola dengan pemain Perak, Mario Estaban pada perlawanan
Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.
ALOR STAR Kedah menghadiahkan
'buah tangan' berganda kepada penyokong mereka apabila menyajikan persembahan
bertenaga dengan membelasah Perak 5-1 dalam perlawanan tunggal Liga Super di
Stadium Darul Aman, malam tadi.
Beraksi di hadapan lebih 35,000
penonton yang mendapat keistimewaan tiket percuma daripada kerajaan negeri,
pasukan Sang Kenari kelihatan begitu bernafsu memburu gol dengan melancarkan
serangan bertali arus sejak wisel permainan ditiupkan pengadil.
Gol pertama tuan rumah muncul
pada minit ke-13 selepas pertahanan Perak, S. Subramaniam tertampan bola ke
dalam gawang sendiri ketika cuba menyekat larian solo Muhd. Khyril Muhymeen,
sekali gus menggegarkan stadium dengan sorakan penonton yang sabar menanti
sejak 5 petang.
Tujuh minit kemudian, Stadium
Darul Aman sekali lagi gegak gempita dengan sorakan penyokong tuan rumah
apabila Muhd. Khyril mudah menendang bola menewaskan penjaga gol Perak, Hamsani
Ahmad selepas mendapat hantaran Marlon Alex James sebelum menambah gol ketiga
Kedah dan kedua peribadinya pada minit ke-28.
Alex James kemudian menambah
derita pelawat apabila menyumbat gol keempat Sang Kenari, enam minit sebelum
wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.
Perak pula yang beraksi tanpa
penjaring terbanyaknya, Carlos Caceres mendapat gol sagu hati menerusi Mohd.
Razali pada minit ke-72 sebelum pemain muda Kedah, Fadly Baharom melengkapkan
'malam pesta' bagi penyokong tuan rumah dengan gol kelima Sang Kenari hasil
rembatan kencang dari luar kotak penalti, 12 minit sebelum masa perlawanan
sebenar tamat.
Kerajaan negeri 'menghadiahkan'
tiket percuma kepada penyokong dan peminat bola sepak Kedah pada perlawanan
malam tadi sebagai tanda terima kasih kepada rakyat negeri ini atas sokongan
mereka pada pilihan raya umum lalu.
Turut berangkat menyaksikan
perlawanan tersebut ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir
sama Menteri Besar, Azizan Abdul Razak yang juga merupakan Presiden Persatuan
Bola Sepak Kedah (KFA)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yppX6Ai0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan