Jumaat, 17 November 2017

Kedah gah di takhta



 
ARKIB : 17/02/2008
Tonggak Kedah, Hasmawi Hassan menahan asakan penjaga gol Pulau Pinang, Mohd. Faizal Yusoff dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kedah belum mahu melepaskan takhta Liga Super musim ini apabila mengekalkan rentak kemenangan menewaskan Pulau Pinang 4-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Pasukan tuan rumah hanya memerlukan masa tidak sampai seminit untuk membuka jaringan menerusi Badrul Bakhtiar diikuti gol sendiri pemain Pulau Pinang, Chun Keng Hong pada minit ke-36.

Dua lagi gol Kedah dijaringkan Marlon Alex James (m-45) dan Fauzi Shaari (m-77).

Pasukan pelawat memperoleh gol sagu hati menerusi pemain importnya yang kali pertama beraksi, Alex Daniel (m-49).

Dengan kemenangan itu, Kedah (31 mata) bukan sahaja memiliki kelebihan dua mata di depan Selangor di tangga kedua tetapi juga bermain kurang satu perlawanan berbanding pasukan-pasukan lain.

Selangor terus mengekori rapat Kedah selepas menewaskan UPB-MyTeam 2-1 pada perlawanan di Stadium Shah Alam.

UPB-MyTeam bagaimanapun lebih dulu mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol pendahuluan Kaironnisam Shahabudin (m-14).

Frank Seator kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 sebelum Safee Sali menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lapan minit untuk ditamatkan.

Perlis pula melonjakkan diri ke tangga ketiga liga dengan 26 mata untuk memintas Perak dan Negeri Sembilan Naza selepas menang 4-1 ke atas Sarawak di Stadium Utama Negeri.

Seperti jirannya Kedah, Perlis juga hanya memerlukan tidak sampai seminit untuk mendahului menerusi jaringan Mohd. Reduan Osman sebelum diikuti tiga lagi gol Philimon Chipeta (m-20), Azi Shahril Azmi (m-25) dan Kapwe Kawazaki (m-38).

Perak dan Negeri Sembilan Naza terpaksa akur dipintas Perlis selepas kedua-dua pasukan hanya mampu seri 1-1.

Perak diikat Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan pemain tuan rumah, Mohd. Asyaari Samsudin (m-38) dan Mohd. Razali Omar (m-41)

NS Naza turut diikat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Satu lagi perlawanan, semalam menyaksikan Pahang menjinakkan Johor FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Gol-gol Pahang dijaringkan Keita Boubacar (m-11) dan Azizul Kamaludin (m-29) manakala gol tunggal Johor FC disumbang Mohd. Saiful Sabtu (m-72).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ygZQoYSW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan