Sabtu, 12 November 2016

Soffian, Affendi Julaihi sertai Kedah

ARKIB : 03/02/1999
RADHI Mat Din (duduk kiri) menandatangani kontrak sebagai penolong jurulatih sambil diperhatikan oleh Shariff Abu Samah di Alor Setar semalam.

TUJUH muka baru termasuk bekas penjaga gol hoki negara, Ahmad Soffian Zulkifli merupakan antara 27 pemain yang akan memperkuatkan pasukan bola sepak Kedah bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia musim ini, lapor MOHD. KAMIL YUSUFF.

Turut menyertai Soffian ialah Affendi Julaihi (Negeri Sembilan), Raizuwah Idris (Negeri Sembilan), Norizam Ali Hassan (Perlis), Azuan Othman (Kelantan), Azrin Shah Zainal (Selangor) dan Tan Chong Aik (Pulau Pinang).

Mereka yang disertai jurulatih, Azman Eusoff dan penolong jurulatih merangkap ketua pasukan, Radhi Mat Din menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Alor Setar, semalam.

Selain itu, dalam usaha memperkuatkan skuad Hijau Kuning, dua pemain bawah 18 tahun, Rafiz Abu Bakar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut diserapkan dalam senarai tersebut.

Pengurus KFA, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah berkata, Rafiz yang menandatangani kontrak selama dua tahun dan Akmal Rizal, tiga tahun, akan menjadi aset penting masa depan skuad Kenari.

''Manakala pemain lain yang ditawarkan kontrak selama setahun. Tiga bulan sebelum kontrak tamat, kita akan bagi pilihan kepada pemain-pemain yang terpilih sama ada ingin menyambung kontrak atau sebaliknya,'' kata Shariff, semalam.

Mereka akan menerima gaji yang dipersetujui bersama iaitu antara RM1,500 dan RM4,000 berdasarkan prestasi dan senioriti masing-masing.

KFA juga menawarkan kontrak kepada bekas penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad walaupun pemain itu masih dibelenggu masalah kecederaan yang lama.

Shariff menambah, walaupun Che Zambil hanya akan memanaskan bangku simpanan untuk empat bulan akan datang, KFA tetap menerimanya dalam skuad terbaru ini kerana jasanya kepada pasukan itu sebelum ini.

''Zambil hanya disahkan oleh doktor boleh bermain pada Julai ini tetapi kita akan teruskan rawatannya supaya dia cepat pulih dan boleh beraksi segera,'' katanya.

Menurut Shariff, pemain perlu menunjukkan komitmen yang tinggi, sanggup bekerja keras, setia kepada pasukan di samping meletakkan kejayaan sebagai matlamat utama.

Mengenai peruntukan, kata Shariff, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi pengurusan pasukan musim ini termasuk membayar gaji pemain.

Ujarnya, jumlah ini ternyata berkurangan jika dibandingkan dengan peruntukan tahun lalu, RM2.3 juta.

KFA juga berjaya menjimatkan RM800,000 setahun dari segi bayaran gaji pemain asing apabila mereka tidak dibenarkan beraksi lagi di bawah peraturan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Musim lalu, Kedah mempunyai tiga pemain import - Andre Luis Nascimento dan Carlos Roberio dari Brazil serta Kane Mamadou dari Nigeria.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Ps9AGfjN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan