ARKIB : 04/02/1999
RUMAH sudah disediakan, kereta
sudah dicari, malah gaji sudah dipersetujui, namun Affendi Julaihi memilih
untuk tidak mengotakan janji.
Sikap tidak profesional bekas
pemain Negeri Sembilan ini jelas mengecewakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)
yang telah menyediakan hampir kesemuanya untuk menyambut kedatangan pemain ini.
Pengurus pasukan Kedah, Datuk
Mohd. Shariff Abu Samah ternyata terkejut dengan tindakan Affendi yang
dikatakan memilih Kelantan kerana sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan ini
telah bersetuju menyertai Kenari.
Malah namanya diletak dalam
senarai teratas pemain-pemain yang menandatangani kontrak dengan KFA kelmarin,
walaupun dia tidak dapat hadir di saat akhir kerana dikatakan menghadapi
masalah kesihatan.
Ekoran itu, KFA telah
menetapkan hari dan waktu yang sesuai bagi pemain itu untuk menandatangani
kontrak bersama pasukan Jelapang Padi.
Shariff yang jelas terkilan
dengan tindakan yang menjejaskan imej KFA menyifatkan Affendi sebagai pemain
yang ''cakap tidak serupa bikin''.
Beliau yang dihubungi di Alor
Setar semalam berkata, Affendi sebelum ini telah mengadakan beberapa
perbincangan dengan KFA berhubung perpindahannya dari Negeri Sembilan.
''Affendi berjumpa dengan saya
dua kali dan bersetuju secara lisan untuk beraksi dengan Kedah sebelum surat
tawaran dikeluarkan kepada pemain itu,'' katanya.
Shariff mengulas kenyataan
Affendi semalam yang akan mewakili Kelantan selepas kontrak bersama Negeri
Sembilan berakhir hujung tahun lalu.
Pemain yang berasal dari
Sarawak itu turut menafikan spekulasi perpindahannya ke Kedah sambil
menjelaskan belum membuat perbincangan lanjut bersama Kedah berhubung
perpindahan itu.
Shariff terkilan juga kecewa
kerana KFA dijadikan sebagai batu loncatan buat Affendi untuk menerima tawaran
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) selepas mengetahui bayaran yang lebih
lumayan berbanding KFA.
Menurutnya, dalam pertemuan
yang diadakan dengan Affendi itu, pemain itu bersetuju dengan jumlah gaji yang
ditawarkan dan KFA juga bersetuju untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk
rumah untuknya dan kedua-dua ibu bapanya.
''KFA juga telah mengenal pasti
beberapa pusat pengajian agama di sekitar negeri ini bagi memenuhi hasrat
pemain itu untuk mendalami ajaran agama,'' jelasnya.
Menurut Shariff, tindakan
Affendi itu dikatakan telah melanggari syarat yang diputuskan dalam mesyuarat
setiausaha-setiausaha eksekutif dan kehormat persatuan-persatuan bola sepak
negeri, baru-baru ini.
Katanya, mesyuarat itu
memutuskan setiap pemain perlu menyelesaikan rundingan dengan sesebuah
persatuan bola sepak negeri sebelum berunding dengan persatuan bola sepak yang
lain.
''Kita tidak menyalahkan KAFA
dalam hal ini kerana mungkin KAFA tidak tahu menahu tentang perjanjian Affendi dengan
Kedah,'' katanya.
Berikutan tindakan Affendi itu,
Shariff rela membiarkan Affendi bermain untuk Kelantan kerana sikap itu hanya
akan memburukkan reputasi Kedah sebagai antara pasukan terbaik negara ini.
Oleh: YUSRI SAHAT
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PsI7J9Y2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan