Jumaat, 4 November 2016

Ifwat mengaku dirisik 5 pasukan

MOHD. RAFIE AZIMI  |  03 November 2016 12:19 AM
Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim
Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim
ALOR SETAR 2 Nov. – Kegembiraan penyokong Kedah menyambut kejayaan Lang Merah memenangi Piala Malaysia mungkin terjejas dengan desas-desus bahawa beberapa pemain bintang mereka telah menarik perhatian pasukan lain yang bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat mereka.

Pemain tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dan Mohd. Rizal Ghazali dikatakan sudah dirisik beberapa pasukan dan keadaan semakin rumit dihadapi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) apabila penjaga gol muda yang menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan akhir di Shah Alam Ahad lalu, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim juga cuba dipancing pasukan bertaraf gergasi.

Ifwat sendiri mengakui bahawa ketika ini sebanyak lima pasukan tempatan sudah mula merisik dan membuat tawaran kepadanya.

“Tiga pasukan itu beraksi dalam Liga Super sementara dua lagi bermain dalam Liga Perdana. Ada antaranya yang datang bertanya sebelum final (Piala Malaysia) dan jumlah itu meningkat selepas kami memenangi kejuaraan di Shah Alam tempoh hari.

“Tawaran diberikan mereka agak menarik namun setakat ini saya masih belum membuat sebarang keputusan kerana masih menanti kata putus dari Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Ifwat sebelum ini kurang dikenali malah langsung tidak dianggap sebagai penjaga gol pilihan untuk Kedah pada awal musim memandangkan terdapat tiga pemain berprofil lebih tinggi di posisi itu dan pernah bermain untuk skuad kebangsaan iaitu Abdul Hadi Hamid, Mohd. Syazwan Abdullah serta Farhan Abu Bakar.

Namun aksi cemerlang ditampilkan pemain berusia 20 tahun itu sejak diberi peluang beraksi dalam skuad utama oleh jurulatih Tan Cheng Hoe ketika menentang T-Team pada 20 Julai lalu sekali gus membolehkan dia kekal sebagai benteng terakhir Kedah untuk setiap perlawanan melibatkan Lang Merah selepas itu.

Mengulas lanjut, Ifwat berkata, ketika ini hatinya masih kuat memilih untuk beraksi bersama Lang Merah pada musim depan.

“Bagaimanapun segalanya bergantung kepada tawaran dikemukakan pihak pengurusan KFA nanti. Kontrak saya bersama KFA sudah pun tamat tetapi mereka ada menyatakan kesediaan untuk memperbaharuinya.

“Tengoklah nanti macam mana keadaannya. Di Kedah ini saya sudah serasi tetapi dengan pasukan lain belum tahu lagi adakah sama keadaannya atau tidak.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya dilamar pasukan-pasukan lain untuk beraksi de­ngan mereka,” katanya yang baru setahun dibawa masuk ke skuad utama dari skuad Piala Presiden Kedah.

SUMBER-UTUSAN ONLINE 5.11.2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan