ARKIB : 30/01/2000
BEKAS jurulatih kebangsaan yang
membawa pulang pingat emas terakhir negara dalam Sukan SEA 1989, Ahmad Shafie
dilantik menjadi Ketua Jurulatih Kedah dalam misi skuad Hijau Kuning untuk
menjulang Piala Malaysia dan mara ke Perdana Satu musim depan, lapor YUSRI
SAHAT.
Pelantikan itu dibuat oleh
pengurus pasukan, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil ketika mengumumkan senarai
jurulatih dan pemain di Stadium Darulaman petang semalam.
Sebanyak 19 pemain yang terdiri
daripada muka lama dan baru diadun oleh Ahmad Basri bagi membawa cabaran Kedah
dalam saingan Perdana Dua musim ini.
Tiga pemain luar turut
disenaraikan dalam barisan skuad kali ini iaitu bekas pemain tengah kebangsaan,
Yap Wai Loon; bekas pemain Terengganu, Badrul Hisham Abdullah dan bekas pemain
Selangor, Mohd. Helmi Mohamed.
Wai Loon dan Badrul Hisham akan
menggalas tanggungjawab sebagai play maker bersama pemain veteran, Mohd. Radhi
Mat Din dan Mohd. Feriza Ismail bagi memperkuatkan jentera tengah.
''Pemain yang berasal dari
Sabah itu akan mengikat kontrak selama dua tahun bersama Kedah manakala pemain
lain selama setahun,'' kata Ahmad Basri di Alor Setar semalam.
Barisan serangan kali ini
dilihat lebih mantap dengan kehadiran semula bekas penyerang kebangsaan, Che
Zambil Ahmad yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Che Zambil yang menerajui barisan
serangan akan digandingkan dengan pemain muda, Ahmad Zalghafari Manaf dan Mohd.
Rafdi Abdul Rashid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang pada musim lalu.
Barisan pertahanan juga dilihat
lebih tersusun dengan kembalinya V. Thinagaran yang akan dibantu oleh Mohd.
Helmi, Roslan Abdul Rahim dan Adrien Jurad Chamrong.
S. Ragesh yang sebelum ini
beraksi bersama Pulau Pinang musim lalu kembali menyarung jersi Kedah selaku
penjaga gol utama di samping Ahmad Sabri Ismail dan Azuan Othman.
Menurut Ahmad Basri, hampir
semua pemainnya kini sedang beraksi dalam Piala Emas Raja-Raja di Kangar kerana
masih belum menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana pasukan.
''Tarikh menandatangani kontrak
pemain akan ditentukan pada tarikh yang belum ditetapkan tetapi selepas Tahun
Baru Cina ini,'' jelasnya.
Beliau juga sedang memberi
perhatian kepada beberapa pemain muda untuk diserap dalam skuad berikutan masih
ada enam lagi kekosongan dalam barisan pemain.
Beliau yakin dengan adunan muka
lama dan baru itu, Hijau Kuning mampu menebus semula kehampaan musim lalu bagi
mengembalikan semula maruah yang sudah terpalit.
Sementara itu, Ahmad Shafie
yang dibantu oleh ketua jurulatih musim lalu, Azman Eusoff tidak menafikan
menghadapi tugas getir untuk membawa Kedah kembali di Perdana Satu.
''Saya berjanji kepada pihak
pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan penyokong Kedah untuk
mengembalikan semula kecemerlangan Kedah dalam Liga Perdana,'' ujarnya.
Ahmad Shafie bukanlah orang
baru bagi Kedah kerana pernah membawa skuad Hijau Kuning ke peringkat akhir
Piala Malaysia sebanyak tiga kali pada tahun 1987, 1988 dan 1989 ketika beliau
menjadi jurulatih skuad itu.
Beliau kemudian diserap ke
dalam pasukan kebangsaan selama tiga tahun bermula 1989 dan berjaya membawa
pulang pingat emas dalam Sukan SEA pada tahun tersebut. Senarai penuh pemain:
Penjaga gol - S. Ragesh, Azuan Othman dan Ahmad Sabri Ismail; Pertahanan - V.
Thinagaran, Roslan Abdul Rahim, Adrien Jurad Chamrong, Mohd. Sofi Mat Isa,
Mohd. Helmi Mohamed; Tengah - Yap Wai Loon, Badrul Hisham Abdullah, Azrin Shah
Zainal, Izham Darus, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Radhi Mat Din; Penyerang -
Cheah Kean Seng, Mohd. Rafdi Abdul Rashid, Ahmad Zalghafari Manaf, Che Zambil
Ahmad, Norizam Ali Hassan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4StiOcATs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan