ARKIB : 29/04/1999
''SUNGGUH luar biasa,''
demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Jurulatih Kedah, Azman Eusoff
ketika ditemui selepas menyaksikan persembahan hebat anak-anak buahnya
membelasah Perak 4-1 pada perlawanan Liga Perdana Satu di Alor Setar, kelmarin.
Ucapan itu membayangkan
jurulatih tersebut seolah-olah tidak percaya apabila menyaksikan kelincahan
para pemainnya ''membuli'' penyandang juara tahun lalu itu dengan jumlah
jaringan yang agak besar.
Tanpa kelibat penjaring
terbanyak Kedah, Ahmad Zalghafari Manaf dan Adrien Jurad, kesebelasan yang ada
membuktikan bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Menurut Azman, Hijau Kuning
sewajarnya mencipta kemenangan yang lebih besar jika ketiga-tiga serangan yang
menyaksikan palang gol sebagai halangan, menemui sasarannya.
Kehadiran Seladang ke Alor
Setar sebelum perlawanan bermula semalam begitu digeruni apatah lagi selepas
pasukan itu berjaya memusnahkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, Pulau Pinang
1-0 minggu lepas.
Bagaimanapun, kehebatan Perak
yang diwar-warkan itu meleset apabila Kedah menguasai setiap penjuru padang
sehingga pasukan pelawat kehilangan punca.
Menurut Azman, resepi utama
yang membuahkan kejayaan pada malam bertuah itu ialah memberi kepercayaan penuh
kepada setiap pemain dalam menjalankan peranan masing-masing.
''Kita tidak lagi bergantung
kepada satu atau dua pemain kerana mempunyai banyak pemain yang boleh digalas
untuk menjadi pemusnah,'' katanya.
Menurut Azman, corak permainan
pantas dengan memberi penumpuan kepada aspek pertahanan dan serangan kilat ke
atas lawan merupakan kunci kemenangan itu.
Secara peribadinya, beliau
mengiktiraf Roslan Abdul Rahim sebagai pemain paling cemerlang malam kelmarin
sambil menyifatkan semua pemain bermain dengan baik sekali dan mengetahui
peranan masing-masing.
Gandingan Cheah Kean Seng dan
Norizam Ali Hassan begitu menjadi sehingga Kean Seng berjaya merobek gawang
Perak sebanyak tiga kali, ujarnya.
Kemenangan malam kelmarin
dianggap sungguh bermakna untuk Kenari meneruskan cengkamannya di tangga kedua
Perdana Satu sekali gus menghangatkan lagi saingan merebut persada liga.
Kekalahan Pulau Pinang di
tangan Terengganu malam kelmarin juga memberi tuah kepada Kedah untuk
merapatkan jurang mata di belakang skuad Harimau Kumbang itu.
Kedah kini hanya ketinggalan
satu mata di belakang Pulau Pinang yang memperoleh 18 mata dalam pusingan
pertama Perdana Satu.
Oleh: YUSRI SAHAT
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RfKsmNAd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan