Selasa, 29 November 2016

Kedah jerat si Bujang

ARKIB : 11/04/1999
SELEPAS berputih mata beberapa kali di gelanggang sendiri, Kedah akhirnya memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 4-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Pemain muda Kedah, Nurul Ahyat Elias, Ahmad Zalghafari Manaf dan Cheah Kean Seng masing-masing merembat satu gol untuk Kedah mendahului Sarawak 3-0 manakala satu gol lagi disumbat pemain senior, Zulfatah Dzulkarnain pada minit ke-74.

Minit awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mencari ruang untuk menembusi pertahanan lawan tetapi tidak ada serangan yang mantap.

Sarawak hampir mendapat gol pertama menerusi tendangan percuma yang diambil oleh Bobby Chua apabila bola melintas di hadapan gawang tetapi Mohd. Amran Omar menangkap kemas bola sambil beberapa pemain Sarawak cuba menanduk masuk bola.

Tetapi pada minit keenam, Kedah yang baru sahaja dicemaskan dengan cubaan Sarawak itu, menggegarkan stadium apabila mendahului pelawat 1-0.

Gol bermula dengan gerakan cantik di bahagian tengah dengan Radhi Mat Din melorongkan bola ke hadapan gawang dan Nurul Ahyat menyempurnakan cubaan itu untuk menewaskan Mazlan Wahid.

Gerakan-gerakan tuan rumah sering dipatahkan dengan asakan keras pemain Sarawak dan memaksa pengadil Mohd. Jamil Zakaria memberi tendangan percuma kepada Hijau Kuning.

Bagaimanapun pemain tuan rumah terus membuat serangan hinggalah minit ke-40 apabila Kedah sekali lagi mendapat gol.

Ahmad Zalghafari yang diletakkan harapan untuk menjaringkan gol skuad Kenari sekali lagi menjadi perhatian penonton apabila menambah gol kedua pasukan tuan rumah.

Kean Seng dari kanan padang menolak cantik bola kepada Zalghafari yang berada dalam kedudukan selesa di hadapan gol Sarawak bagi menewaskan Mazlan.

Pada minit awal permainan separuh masa kedua, Ahmad Zalghafari sekali lagi mencemaskan Sarawak apabila menerima bola di hadapan gol tetapi sepakannya tersasar keluar.

Walaupun mendahului 2-0, pemain Kedah terus membuat serangan agar peristiwa ketika menentang Kuala Lumpur Sabtu lalu tidak berulang.

Dalam perlawanan itu, Kedah mendahului Kuala Lumpur 2-0 tetapi pasukan pelawat mendapat gol penyamaan pada minit terakhir permainan dan akhirnya keputusan memihak kepada Kuala Lumpur yang menang penalti 11-10.

Sarawak turut membuat beberapa percubaan khususnya melalui Ramos Sari di sebelah kanan tetapi tidak ada serangan berbahaya untuk menguji Mohd. Amran Omar.

Dalam cubaan Sarawak mendapatkan gol, Ahmad Zalghafari seperti menjadi duri kepada Sarawak apabila sesekali mendapat bola untuk membolosi pertahanan pasukan pelawat.

Tolakannya kepada Azrin Shah Zainal pada minit ke-65 membuahkan hasil apabila membuka ruang untuk Cheah Kean Seng meluru ke depan merembat gol ketiga skuad Kenari.

Pada minit ke-76 pula, Zulfatah Dzulkarnain yang masuk menggantikan Nurul Ahyat menambah gol Kedah selepas melarikan bola secara solo di hadapan gol Sarawak untuk menewaskan Mazlan.

Sarawak terus membuat asakan dan beberapa percubaan mencemaskan tetapi Mohd. Amran bertindak cemerlang.

KEDAH: Mohd. Amran Omar, Adrien Jurad, Mohd. Farouk Ismail Cheah Kean Seng, M. Raizuwah Idris, Mohd. Feriza Ismail, Roslan Abd. Rahim, Radhi Mat Din, Nurul Ahyat Elias (Zulfatah Dzulkarnain), Ahmad Zalghafari Manaf (Rafiz Abu Bakar), Azrin Shah Zainal (Mohd. Izham Abas).

SARAWAK: Mazlan Wahid, Mohd. Zaidil Sakup, Dahlan Matussin, Jeferry Lana (Roziman Rambli), Bobby Chua, Ibrahim Mentali (Abang Zaafari), Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian, Ramles Sari, Ramos Sari (Efandi Sugandi), Mohd. Safri Amit.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RTFgZ5aM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan