ARKIB : 03/10/1998
BELUM reda keghairahan peminat
mengimbas kejutan yang baru berlalu, persaingan sengit terhidang lagi buat enam
pasukan mengintai ruang dalam perlawanan Piala Malaysia malam ini, lapor
ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Pastinya, Pulau Pinang yang
membuka tirai Piala Malaysia menerusi kemenangan besar 4-1 ke atas Negeri
Sembilan di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu terus menjadi pilihan.
Reputasi tidak disangka selaku
juara Perdana Satu 1998 masih gah, mendedahkan betapa Pulau Pinang kini bukan
kerdil lagi, malah kebangkitannya bagaikan harimau kumbang yang semakin ganas
memburu mangsa.
Namun, mangsa kali ini bukannya
''belasahan,'' sekalipun Kedah bergelar kenari yang rebah selepas dibelasah
juara Perdana Dua, Terengganu 3-0.
Beradu kekuatan di Stadium
Darulaman dalam Kumpulan A tidak langsung menggentarkan Pulau Pinang,
sebaliknya kegagalan mencatat kemenangan ke atas Kedah sejak sekian lama dahulu
menyedarkan harimau kumbang betapa lawan masih perlu dihormati.
Bagaimanapun, perbezaan antara
dahulu dan sekarang umpama ''langit dengan bumi,'' begitu juga Pulau Pinang
yang kini mampu melakukan kejutan berdasarkan keupayaan terkini.
Jika Perdana Satu mampu
dijulang selepas menempuh pelbagai cabaran, inikan pula sekadar perlawanan
melakar sejarah untuk mencipta kemenangan pertama ke atas Kedah.
Di sebalik kemantapan Pulau
Pinang yang mengganding pemain import baru dari Iraq, Riyard Abbas dengan
penjaring sensasi, Merzagua Abderrazak, Kedah pula tidak mudah menyerah kalah
kerana tidak sanggup lagi menanggung kekalahan berterusan.
Selepas tewas kepada
Terengganu, hanya kemenangan ke atas Pulau Pinang boleh mencorakkan persaingan
merebut kedudukan terbaik dalam Kumpulan A.
Begitu juga dalam satu lagi
perlawanan kumpulan yang sama, Kuala Lumpur pasti sudah cukup bersedia untuk
menghadapi Terengganu selepas kejayaannya menewaskan Kedah.
Di Stadium Persatuan Bola Sepak
Kuala Lumpur (KLFA) Cheras, Terengganu bakal merasakan kesukaran menghadapi
skuad warga kota yang kian disegani sejak dibimbing jurulatih, Mat Zan Mat
Aris.
Kumpulan B turut menyaksikan
pertemuan sengit antara Pahang dengan Brunei, dua lagi pasukan menjadi pilihan
yang beraksi di Stadium Darulmakmur, Kuantan.
Tumpuan tentunya kepada
pemenang kasut emas 1998, Melnikov Viatcheslav yang menggalas cabaran Pahang
manakala penyerang berwibawa Brunei, Patrick Akapo bakal mencemaskan benteng
pertahanan skuad 'Tok Gajah.'
Sumbangan hattrick Akapo
sewaktu membantu Brunei mengatasi Sarawak 3-2 membayangkan kemaraan skuad
Borneo itu yang cukup dahagakan kemenangan dalam kempen awal Piala Malaysia sebagai
bekalan untuk meniti perjalanan seterusnya, disifatkan paling mencabar.
Pahang selaku naib juara
Perdana Satu yang memulakan aksi sulungnya dalam Piala Malaysia sudah tentu
tidak mahu rekod awalnya dicalarkan oleh Brunei, apa lagi beraksi di gelanggang
sendiri.
Itulah janji Pahang, keazaman
tinggi yang tidak mudah untuk ditunaikannya berdasarkan pengalaman pahit
setelah terlepas kejuaraan Perdana Satu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4OkLwiKXd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan