Rabu, 16 November 2016

Barisan serangan Hijau Kuning muka-muka baru

ARKIB : 11/03/1999
KEDAH yang kehilangan beberapa penyerang lincah untuk mengharungi kempen Liga Perdana tidak lama lagi, meletakkan harapan kepada empat penyerang barunya di barisan depan, lapor NIZAM HAMID.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Shariff Abu Samah berkata, keempat-empat pemain tersebut akan digandingkan bagi membentuk barisan serangan yang mantap.

Beliau memberitahu, keempat-empat pemain tersebut ialah Zulfatah Dzulkarnain, Ahmad Zalfakari Manaf, Norizam Ali Hassan dan Nurul Ahyat Ilias.

''Kita bukannya tidak mempunyai penyerang, cuma mereka belum ada persefahaman kerana masih baru,'' katanya kepada para pemberita selepas majlis menandatangani kontrak tajaan peralatan sukan dengan Asics di Alor Setar semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah wakil ejen Asics iaitu Pengarah Urusan, First-2 Marketing Sports Sdn. Bhd., John Poh, Ketua Jurulatih Kedah, Azman Eusoff dan para pemain skuad tersebut.

Sehubungan itu katanya, Kedah mungkin tidak berminat lagi untuk mencari penyerang lain bagi memantapkan bahagian depan selepas kehilangan Nidzam Adzha Yusof yang kini bermain dengan Kelantan.

Ayam tambatan Kedah, Che Zambil Ahmad masih lagi dibelenggu kecederaan dan dijangka hanya boleh menyertai pasukan Hijau Kuning Jun ini.

Usaha Kedah untuk menambat bekas penyerang kebangsaan, Affendi Julaihi juga gagal apabila pemain Sarawak itu menandatangani kontrak dengan Kelantan.

Dalam pada itu Shariff berkata, pasukan Kedah bagi musim ini merupakan adunan pemain baru dan lama yang mampu memberi saingan hebat dalam memburu kejayaan.

Menurutnya, skuad tersebut telah mula menunjukkan persefahaman dan kerjasama berpasukan dan ia akan dimantapkan lagi menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum Liga Perdana bermula.

Katanya, kejohanan Piala Dunhill dan Piala Emas Raja-Raja yang berlangsung sekarang merupakan persediaan yang baik untuk pasukan tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menjanjikan sesuatu kepada peminat Hijau Kuning kerana pasukan tersebut baru sahaja dibentuk selepas beberapa pemain lama menyertai pasukan lain.

''Saya tidak menjanjikan apa-apa, cuma sasaran kita adalah untuk layak Piala Malaysia dan kita cuba untuk muncul sebagai enam pasukan teratas, jika boleh pergi lebih jauh, itu cukup baik,'' ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merancang untuk memberi tiket percuma kepada pelajar sekolah rendah bagi membolehkan mereka menonton perlawanan pasukan itu dalam Liga Perdana di Stadium Darul Aman.

Shariff berkata, selain dapat menarik lebih ramai penonton ke stadium, langkah itu juga bertujuan untuk menanam minat pelajar terhadap perkembangan bola sepak negeri.

Menurutnya, minat terhadap bola sepak perlu dipupuk sejak awal lagi dan adalah menjadi harapan agar skuad Hijau Kuning terus mendapat sokongan daripada peminat tempatan supaya semangat pemain sentiasa berkobar.

''Dengan memberi tiket percuma itu, kita menjangka ibu bapa juga akan datang ke stadium dan membeli tiket kerana menemani anak yang mahu menonton perlawanan bola sepak,'' ujarnya.

Shariff menjelaskan, tiket percuma itu mungkin diberikan kepada pelajar berusia antara lapan hingga 10 tahun yang berminat dan bermain bola sepak

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q9txVvHI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan