(DARI kiri) Khairul, Syazwan,
Baddrol dan Rizal kini bersama Harimau Malaysia.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Wira Piala
Malaysia skuad Kedah, Rizal Ghazali terkilan kerana tidak dapat bersama rakan
sepasukan meraikan kejayaan bersama penyokong di Alor Setar kelmarin namun dia
mengakui tugasan bersama skuad Harimau Malaysia lebih penting.
Pemain pertahanan berusia 24
tahun itu bersama tiga lagi pemain Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari dan
Syazwan Zainon terlepas detik bermakna sambutan besar-besaran oleh puluhan ribu
penyokong atas kejayaan skuad Helang Merah menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama
selepas lapan tahun.
Empat tonggak Kedah itu
diarahkan untuk melaporkan diri bersama skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong
Kim Swee malam kelmarin apabila diberi rehat dua hari selepas membantu Kedah
mengalahkan Selangor menerusi sepakan penalti 6-5 pada final Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Rizal dinobat pemain terbaik
perlawanan akhir susulan aksi cemerlang meledak gol bagi kedudukan 1-1 dalam
aksi 120 permainan sebelum menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk Kedah
membalas dendam kekalahan tahun lalu.
“Kalau boleh nak rai juga, tapi
ada kerja di sini, kami fokus yang penting dulu. Harapan saya bersama Harimau
Malaysia memang besar. Kami ada sasaran yang ditetapkan jurulatih, memang kalau
boleh kami nak menang,” katanya semalam.
Rizal sudah diuji Kim Swee
ketika Harimau Malaysia seri 0-0 dengan Singapura dalam aksi persahabatan
antarabangsa Oktober lalu dan selepas aksi cemerlangnya di pentas final tempoh
hari sudah pasti penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.
“Saya tak ada tekanan dan saya
tak mahu fikir semua itu. Saya akan buat seperti biasa saja,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Khairul
Helmi yang turut terlepas sambutan kejuaraan Piala Malaysia kelmarin berkata,
beliau gembira rakyat Kedah dapat melihat trofi lebih dekat biarpun mereka
tidak bersama.
“Kami cuma tengok sambutan itu
menerusi ‘live Facebook’ Kedah FA, memang rasa kecewa sikit sebab tak dapat
sama-sama raikan piala itu, bukan mudah nak bawa balik piala itu. Yang penting
semua rakyat Kedah gembira dapat tengok piala dengan lebih dekat. Harap KFA
(Persatuan Bolasepak Kedah) dapat buat satu lagi majlis untuk empat pemain ini
turut serta.
“Sebagai pemain profesional,
kami kena korban masa dengan keluarga, ia bukan masalah besar, kami pemain
Kedah fokus dengan skuad kebangsaan,” katanya yang bersama pasukan kebangsaan
ke Port Dickson bagi kem motivasi selama tiga hari.
Dengan kehadiran empat pemain
Kedah itu, Kim Swee kini mempunyai 26 pemain lengkap bagi latihan pusat
menghadapi Piala AFF di Yangon, Myanmar bermula 20 November ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:33 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan