ARKIB : 14/07/2003
Pemain Kedah, Amirul Nizam
Mahadzir (kanan) cuba mengawal bola dari dirampas pemain Terengganu Syed
Ridzuan Abdullah dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam. - Gambar Kaswadi
Yusoff.
PERAK sedang bertanding dalam
kejohanan bola sepak kelab-Kelab Asia di Surabaya, Indonesia pasti semakin
tidak tenteram apabila mengetahui mereka kini tersingkir ke tempat kedua dalam
perebutan takhta Liga Perdana Satu musim ini.
Takhta liga menjelang dua
perlawanan terakhir kini dimiliki Kedah, yang menggunakan kelebihan jumlah gol
untuk merampas tempat tersebut selepas menang 3-1 ke atas Terengganu di Kuala
Terengganu kelmarin.
Kedah dan Perak kini berkongsi 41
mata dan mereka diekori rapat oleh Perlis di tempat ketiga dengan 39 mata.
Hajat Perlis untuk terus
berkongsi mata dengan dua pasukan di atasnya digagalkan oleh semangat juang
tinggi ditunjukkan oleh Telekom, pasukan di tangga ke-10 yang memaksa keputusan
seri 2-2 di Melaka.
Dua lagi pasukan di bawah iaitu
Sabah dan Pahang yang turut berbaki dua perlawanan masing-masing memiliki bekal
37 dan 36 mata - bermakna gelaran juara Perdana Satu masih terbuka buat lima
pasukan teratas.
Pasukan di tempat keenam, Pulau
Pinang walau pun mengumpul 36 mata, tetapi hanya memiliki baki satu perlawanan.
Sarawak yang menghuni tempat
ketujuh dengan 34 mata pula menyaksikan harapan merebut sekurang-kurangnya
tempat ketiga liga hancur apabila dikejutkan oleh Kelantan yang menang 1-0
sekali pun bermain dengan 10 orang setelah Mohd. Zaidi Mat Ali dibuang padang
di Kota Bharu.
Bagaimanapun, harapan Sarawak
untuk merebut tempat automatik ke Liga Super musim depan masih terbuka tetapi
terpaksa bersaing dengan Pahang, Pulau Pinang, Johor FC dan Kelantan.
Enam pasukan teratas Perdana Satu
layak secara automatik ke Liga Super manakala pasukan di tangga ketujuh hingga
ke-10 terpaksa bermain dalam playoff dengan empat pasukan teratas dari Perdana
Dua untuk merebut dua tempat lagi.
Sementara itu, nasib Selangor
terus dirundung malang setelah tunduk 2-0 kepada Sabah di Kota Kinabalu.
Ia adalah kekalahan ke-12 juara
Piala Malaysia 29 kali itu musim ini dan hanya mengumpul 18 mata daripada empat
kemenangan dan enam seri.
Kekalahan kelmarin sekali gus
menghancurkan harapan Selangor untuk ke Liga Super, nasib yang sama diterima
oleh Melaka dan Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4d5i6lL1D
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan