ARKIB : 26/11/2004
|
KEDAH tidak berasa cemas untuk berdepan dengan Sabah pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Darulaman esok meskipun kehilangan tiga tonggak utama dalam pasukan tersebut.
Tanpa kelibat penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Marcos Magno serta pemain serba boleh, Shariman Che Omar, Kedah percaya mereka masih mampu memberi saingan sengit dan mengharapkan kemenangan pada pertarungan yang akan berlangsung di Stadium Darulaman.
Bukan kerana pasukan itu akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan Sabtu ini, tetapi berdasarkan kepada beberapa faktor dan strategi yang telah digariskan oleh jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah.
Beliau berkata, ketiadaan tiga pemain utama itu belum memerlukan Kedah menekan butang kecemasan memandangkan pasukan itu sudah membuat persediaan sejak bulan Ramadan lalu bagi mewujudkan gandingan serasi di bahagian serangan.
Katanya, pasukan sudah mencuba gandingan tanpa Marcos dan Akmal membabitkan Hasmawi Bakiri, Cristiano Selbach dan Rafdi Abdul Rashid yang telah menunjukkan perkembangan yang positif.
``Gandingan itu sudah diuji dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan dan Perlis pada bulan puasa lalu.
Menggilap
``Kita hanya perlu menggilap mereka bagi mewujudkan gandingan yang mampu membolos gol lawan,'' katanya kepada Sukan Utusan semasa ditemui pada sesi latihan pasukan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Star, semalam.
Turut hadir di stadium itu ialah Akmal Rizal yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada rakan-rakan sepasukan yang giat berlatih.
Marcos adalah penjaring gol utama pasukan dengan jumlah jaringan sebanyak 21 gol ketika ini - 11 gol semasa saingan liga, tiga gol dalam kempen Piala FA sementara tujuh gol lagi ketika saingan Piala Malaysia.
Meskipun hanya mampu seri pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Sabah di Kota Kinabalu, Selasa lalu, Mohd. Azraai memberitahu, pihaknya tetap yakin Kedah mampu memenangi perlawanan esok.
``Ia berdasarkan kepada suasana berbeza yang akan dihadapi oleh kedua-dua pasukan di Alor Star dan kita sudah mencongak strategi yang akan digunakan oleh pasukan lawan.
``Sabah akan mendapati situasi yang dihadapi oleh mereka di sini berbeza dengan Kota Kinabalu,'' ujarnya.
Beliau tidak menolak sokongan padu yang akan ditunjukkan oleh penyokong tuan rumah yang dijangka memenuhi setiap sudut Stadium Darulaman akan membantu meningkatkan semangat para pemain.
Bagaimanapun, jurulatih itu tetap berhati-hati dan terus merencanakan strategi yang paling berkesan bagi menghadapi Sabah yang dijangka mencari gol awal dalam perlawanan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan