Khamis, 6 April 2017

Kedah terakhir mara



ARKIB : 07/09/2003
NAIB juara Perdana Satu, Kedah menjadi pasukan terakhir layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia apabila menundukkan Kelantan 3-2 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.

Perlawanan itu bagaimanapun tercemar apabila sekumpulan penyokong tuan rumah menceroboh tepi padang selepas Kedah memperoleh gol ketiga menerusi Ooi Hoe Guan pada minit ke-89 - menyebabkan perlawanan terhenti kira-kira lima minit.

Dua lagi gol Kedah disumbangkan oleh Mohd. Rafdi Rashid (minit 46) dan James William (86) manakala Kelantan membalas melalui Badrul Afzan Razali (57) dan Fatrurazi Rozi (63).

Kemaraan Kedah sebagai pasukan kelapan ke suku akhir turut dibantu oleh kemenangan 3-1 Pahang ke atas Johor di Stadium Darulmakmur, Kuantan. Johor dan Kedah terikat dengan enam mata sebelum perlawanan masing-masing bermula.

Pahang bangkit untuk menjaringkan tiga gol menerusi pemain kebangsaan, Fadzli Shaari (77, 79) dan Hairuddin Omar setelah Johor mendahului 1-0 menerusi Mustazah Maah Mustaffa (9).

Kemenangan Pahang menyaksikan mereka muncul selaku pasukan tunggal yang memenangi semua enam perlawanan di peringkat kumpulan dan akan bertemu naib juara Kumpulan C MPPJ Selangor yang tunduk 1-0 kepada Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah, yang memperoleh jaringan kemenangan menerusi Keith Gumps (1) untuk mengumpul 13 mata akan bertemu Kedah.

Sementara itu, juara terbanyak Piala Malaysia, Selangor akhirnya mengutip mata penuh apabila menundukkan Pulau Pinang 3-2 - dalam perlawanan antara dua pasukan yang telah terkeluar - di Stadium Shah Alam.

Gol-gol juara 29 kali itu diperoleh menerusi percubaan Rudie Ramli (32), Darko Novacic (47, 81) manakala Pulau Pinang membalas melalui Gustavo Romero (64, 77).

Sementara itu, juara Perdana Dua, Public Bank merosakkan rekod juara Perdana Satu, Perak apabila membelasah skuad Seladang 5-2 di Stadium Perak, Ipoh.

Kemenangan bergaya Public Bank dibantu oleh kehebatan Milan Strelec mencipta hatrik (55, 61, 76), Paul Raj (34) serta Yaakob Aris (89). Perak pula membalas menerusi V. Saravanan (45) dan Frank Seator (85). Bagaimanapun, Perak kekal selaku juara Kumpulan D dengan 13 mata, satu mata di depan Public Bank selaku naib juara kumpulan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Johor FC membelasah Melaka 5-1 di Stadium Pasir Gudang menerusi jaringan Azmi Muhamad (21, 62), Jon Angelucci (43, 64) dan penalti Rezal Zambery Yahya (79) sebelum membenarkan pasukan pelawat membalas melalui Mohd. Nafuzi Zin (87).

Perlis pula menamatkan aksi dalam Kumpulan B dengan menundukkan Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka hasil jaringan Lamin Conteh Jr (57, 60, 86) dan Philimon Chipeta (78) untuk menempah pertemuan dengan Public Bank.

Dalam satu lagi perlawanan, Sarawak tumpas di Stadium Sarawak, Kuching hasil jaringan Mohd. Safee (46) dan Issac Kuffour (90). Skuad Bumi Kenyalang itu akan bertemu Perak pada suku akhir yang dijadualkan bermula Rabu ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4dTzUYcvA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan