JUARA tiga kali Piala FA, Kedah mengetuai kemaraan
tiga pasukan ke peringkat separuh akhir setelah berakhir aksi suku akhir
kedua saingan itu, malam tadi.
Walaupun kalah 0-1 kepada Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri
Perak (PKNP FC) pada aksi timbal balik di Stadium Perak, Ipoh malam ini,
skuad Lang Merah layak ke separuh akhir menerusi agregat 6-2.
Pada aksi di Ipoh itu, gol tunggal perlawanan dijaringkan Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-10.
Untuk rekod, Kedah menang bergaya 6-1 ke atas PKNP FC pada aksi suku
akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 April lepas.
Juara dua kali Piala FA, Negeri Sembilan pula terikat tanpa jaringan
menentang Sabah pada aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, namun layak ke separuh akhir menerusi agregat 1-0.
Negeri Sembilan menang tipis 1-0 ke atas Sabah pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, pada 1 April lepas.
Dalam pada itu, juara dua kali Piala FA, Terengganu terpaksa beraksi
sehingga ke penentuan sepakan penalti sebelum mengatasi Sarawak 4-1 pada
aksi di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah tiket ke separuh akhir.
Kedua-dua pasukan sebelum itu, terikat 1-1 dengan Issey Nakajima-Farran
meletakkan Terengganu di hadapan menerusi jaringan seawal minit
kesembilan sebelum Demerson Bruno Costa menyamakan kedudukan untuk
Sarawak pada minit ke-80.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 April
lepas.
Juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan melayan
kunjungan Pahang pada aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin pada Ahad ini.
Untuk rekod, Pahang menewaskan JDT 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 1 April lepas.
Kedah dijadual menentang Terengganu, manakala Negeri Sembilan akan
menanti pemenang perlawanan antara Pahang dan JDT pada aksi separuh
akhir, yang menggunakan format timbal balik pada 28 dan 29 April untuk
aksi separuh akhir pertama dan 12 dan 13 Mei ini untuk aksi timbal
balik.
Final Piala FA dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Mei ini. - Bernama
SUMBER-SUNAR HARIAN ONLINE 22.4.2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan