ARKIB : 12/07/2003
Oleh SOPHA SULAIMAN
KEDUDUKAN lawan di tangga
terbawah liga bukannya alasan untuk Kedah bersikap sambil lewa menghadapi
Terengganu dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu, di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini.
Kedah selaku juara Liga Perdana
Dua 2002 akan memberi tentangan sengit kepada Terengganu dalam usaha meraih
kejuaraan Liga Perdana Satu yang turut menjadi rebutan Perak dan Perlis.
Pengurus pasukan Kedah, Datuk
Shukri Hashim berkata, ini kerana pasukan tercorot biasanya akan bermain lebih
baik jika berdepan dengan pasukan yang berada di kelompok teratas.
``Saya tidak anggap pertemuan ini
mudah dan berharap pemain tidak akan tertekan di gelanggang lawan, `` katanya
di Alor Star semalam.
Apa yang dibimbangkan, kata
Shukri, pemain mungkin akan mengalami tekanan kerana memikirkan kedudukan
pasukan mereka kini dan harapan tinggi penyokong.
``Jika mereka (pemain) dapat
mengatasi masalah itu di awal permainan, kita yakin dapat membawa pulang mata
penuh, `` ujarnya.
Mengenai semangat pemain, kata
Shukri, mereka sudah bersedia di segi mental dan fizikal untuk menghadapi
pasukan pencabar.
Bagaimanapun, kata Shukri, Kedah
yang berada di tangga kedua kini tidak akan melepaskan peluang untuk merebut
takhta liga kali ini kerana tahun 2003 merupakan kemuncak kejayaan Hijau Kuning
sejak tujuh tahun lalu.
Kedah menjadi penghuni Divisyen
Dua sejak 1996 hingga 2002.
Menurut Shukri, setiap perlawanan
yang akan dihadapi merupakan saat yang genting bagi Kedah kerana jika seri sekalipun
akan menjelaskan peluang untuk muncul juara.
``Para pemain menyedari perkara
ini dan saya harap mereka dapat memberi tumpuan terhadap baki tiga perlawanan
akan datang,'' katanya lagi.
Selepas bertemu Terengganu esok,
Kedah akan melayan Pahang di Stadium Darulaman pada 29 Julai dan menentang
pasukan terakhir Sabah di Kota Kinabalu pada 2 Ogos.
Kedah kini mengumpul 38 mata
selepas bermain 21 kali berbanding pendahulu liga, Perak yang mengumpul 41 mata
tetapi telah bermain 22 kali. Perak mempunyai dua baki perlawanan iaitu
menentang Selangor dan Melaka.
Sementara Perlis yang tewas
kepada Kedah 0-2 kelmarin kini menduduki tangga ketiga juga mempunyai mata yang
sama dengan Kedah.
Kedah bagaimanapun mempunyai
kelebihan jaringan gol jika dibandingkan dengan pasukan Perlis dan Perak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4d5evDZYX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan