Selasa, 18 April 2017

Pemain Kedah dakwa tidak dapat gaji

ARKIB : 21/04/2004
PENGHUNI tangga tercorot Liga Super, pasukan bola sepak Kedah yang dibelenggu prestasi hambar berdepan satu lagi masalah serius apabila pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikatakan gagal membayar gaji pemain yang kini hampir memasuki bulan kedua.
Sumber memberitahu, sejak bulan Mac lalu pemain Kedah belum menerima gaji bulanan.
Menurut sumber berkenaan, jika sehingga penghujung bulan ini gaji masih tidak dibayar, bermakna dua bulan pemain tidak mendapat apa-apa bayaran.
Lebih menggusarkan para pemain, KFA tidak memberi sebarang jawapan setiap kali diajukan masalah gaji meskipun ia telah beberapa kali dikemukakan.
``Para pemain sudah meminta bantuan pengurus pasukan sebagai orang tengah untuk bertanyakan masalah gaji dengan pihak pengurusan.
``Tetapi dia (pengurus) hanya mampu membawa masalah itu ke peringkat pengurusan tanpa mampu menyelesaikannya.
``Setiap kali pemain bertanya akan hal tersebut (gaji) kepada pegawai persatuan, pemain diminta merujuk kepada pegawai yang lain pula.
``Pemain amat kecewa kerana para pegawai pengurusan seolah-olah cuba bersikap lepas tangan,'' kata sumber tersebut.
Menurut sumber itu lagi, sebelum ini pemain tidak pernah berdepan masalah gaji tetapi sejak beberapa bulan lalu gaji pemain agak lewat dijelaskan.
``Para pemain tidak diberitahu apakah masalah pihak pengurusan.
``Saya kasihan melihat para pemain yang mungkin akan berdepan masalah kewangan yang serius jika masih tidak mendapat gaji terutama pemain yang sudah berkeluarga,'' kata sumber tersebut.
Kedah menyasarkan kejuaraan Liga Super pertama musim ini serta ke akhir Piala Malaysia 2004.
Pasukan hijau kuning mendapat sentuhan tiga pemain Brazil iaitu Marlo Manso, Gastov Felipe dan Leonardo Baron, selain jurulatih, Miradhinha, yang menandatangani kontrak selama setahun.
Sementara itu, sumber tersebut tidak menolak kemungkinan masalah gaji akan menyebabkan tumpuan pemain terjejas.
``Para pemain pasti akan hilang semangat untuk beraksi dengan baik jika terus dibelenggu masalah gaji,'' jelas sumber itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan