Ahad, 2 April 2017

Kedah kembali terajui liga



ARKIB : 13/07/2003
KEDAH meneruskan kehangatan perebutan gelaran juara liga bola sepak Perdana Satu apabila menundukkan Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sekali gus merampas tangga teratas daripada Perak semalam.

Ooi Hoe Guan meletakkan Kedah di laluan kemenangan apabila menyepak masuk pada minit ke-34 tetapi Terengganu cuba memberikan saingan apabila Tg. Mohd. Adam Tg. Rosli menyamakan kedudukan hanya seminit kemudian.

Namun penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan James William Kedah membawa pulang tiga mata apabila masing-masing menemui sasaran pada minit ke-51 dan 53.

Kedah kini terikat 41 mata dengan Perak tetapi mempunyai kelebihan jumlah gol.

Harapan pasukan di tangga ketiga, Perlis untuk terus menyaingi Perak dan Kedah ditipiskan oleh kelalaian sendiri apabila hanya mampu seri 2-2 dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Ia adalah keputusan yang malang bagi naib juara Piala FA itu, setelah mereka mendahului dua kali menerusi Philimon Chipieta.

Wira Zulu itu menjaringkan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-30 tetapi Issac Kuffour menyamakan kedudukan untuk Telekom pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti.

Chiepieta sekali lagi meletakkan Perlis di depan pada minit ke-45 namun K. Kumaran pula memastikan Telekom mencuri satu mata apabila menolak masuk gol penyamaan kedua pada minit ke-49.

Sabah meneruskan nasib malang Selangor apabila mencipta kemenangan 2-0 di padang licin akibat hujan kira-kira dua jam sebelum perlawanan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Bagaimana pun, tuan rumah yang memperoleh sokongan daripada kira-kira 5,000 penyokong setia hanya memperoleh kedua-dua gol pada separuh masa kedua.

Jaringan pembukaan diperoleh menerusi sepakan percuma Robert Mark Gasper yang menyepak bola leret dari jarak kira-kira 30 meter pada minit ke-62 untuk menumpaskan Mohd. Faizal Rashid, anak kepada bekas penjaga gol kebangsaan, Rashid Hassan.

Jaringan kedua menyusul sembilan minit kemudian apabila Faizal gagal menangkap kemas bola sepakan Bobby Gonzales, untuk memudahkan Josiah Seton menolak masuk dari jarak dekat.

Pahang pula naik dua anak tangga ke tempat kelima apabila menundukkan Melaka 1-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Rosdi Talib muncul wira tuan rumah dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-46 yang sama sekali menewaskan penjaga gol pelawat, Zainal Rabin.

Kelantan pula mengejutkan Sarawak apabila menang 1-0 sekali pun beraksi dengan 10 pemain di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Khairu Zal Azmie menjaringkan gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-44 tetapi kemudian menyaksikan mereka terpaksa kehilangan Mohd. Zaidi Mat Ali pada babak kedua setelah dilayangkan kad kuning kedua.

Namun, Sarawak gagal menggunakan kesempatan itu untuk mencari gol dan terpaksa menerima akibat jatuh satu anak tangga ke tempat ketujuh.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4d5hGmQVz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan