ARKIB : 23/08/2003
KEDAH akan turun menentang
Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu malam ini dengan hasrat untuk
mengutip tiga mata penuh bagi membuka laluan ke peringkat suku akhir Piala
Malaysia, lapor NAZARUDIN SHAHARI.
Walaupun kalah kepada Kelantan
pada pusingan kedua liga perdana di stadium tersebut sebelum ini, ia tidak
melemahkan semangat para pemain untuk mencatat kemenangan pada perlawanan ini.
Bagi Kedah, setiap perlawanan
adalah penting dan pasukan itu tidak mahu peluang yang ada dipersiakan begitu
sahaja kerana ia boleh membawa padah kepada pasukan berkenaan pada akhirnya
nanti.
Mereka tidak mahu apa yang
berlaku semasa penentuan juara liga dua minggu lalu berulang sekali lagi pada
pusingan Piala Malaysia kali ini.
Dalam saingan tersebut, Kedah
terlepas peluang untuk menjadi juara apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Sabah
pada perlawanan terakhir yang menjadi penentu muktamad untuk pasukan yang
meraih piala berkenaan.
Kali ini, jurulatih, Jorgen E.
Larsen mahu para pemain menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan
gol kerana dalam bola sepak, jaringan gol akan menentukan sama ada pasukan
mampu melangkah ke depan.
Beliau merujuk perlawanan sulung
saingan Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor, Rabu lalu yang
berkesudahan dengan Kedah menang dengan jaringan 2-1.
Katanya, para pemain sebenarnya
mempunyai beberapa peluang lagi untuk menjaringkan gol dalam perlawanan
tersebut, namun kesempatan yang ada tidak digunakan sepenuhnya.
Pasukan itu kini memperkemaskan
jentera serangannya untuk memastikan ia mampu menghasilkan gol pada perlawanan
akan datang.
Pada masa yang sama, Kedah
mengharapkan pemain import mereka dari Australia, James William dapat
menunjukkan prestasi yang lebih baik seperti yang diharapkan.
Namun begitu Kedah berasa lega
kerana pasukan itu bebas daripada sebarang masalah kecederaan kecuali pemain
tengah, Liew Kit Kong yang tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan
lutut.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4dHrOYPXN©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan