ARKIB : 24/11/2004
|
FINALIS musim lalu, Sabah melepaskan peluang bermain di laman sendiri apabila diikat tanpa jaringan dengan juara dua kali, Kedah dalam aksi separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam, lapor SHARILFUDDIN SHAARI.
Walaupun bermain di hadapan 28,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang stadium, skuad Badak gagal menembusi barisan pertahanan Kedah yang bermain cemerlang.
Tuan rumah bagaimanapun menguasai pentas saingan dengan asakan bertali arus terutama gerakan-gerakan berbahaya dua daripada pemain import, Keith Gumbs dan Andrea Reinaldo.
Dalam tempoh sepuluh minit babak berlangsung, benteng Kedah digempur hebat oleh asakan-asakan berbahaya Sabah.
Namun pasukan juara 1990 dan 1993, Kedah masih mampu mencemaskan benteng pertahanan Sabah.
Percubaan gandingan Hasmawi Hassan dan Christiano Selbach yang kelihatan berbahaya kepada barisan pertahanan Sabah bagaimanapun gagal menepati sasaran.
Peluang terbaik Sabah hadir ketika bola muntah bergolek di hadapan Gumbs dan pemain itu bijak menggelecek dan hanya bedepan dengan penjaga gol, Amir Faisal Al-Kalidi seminit sebelum tamat babak pertama.
Begitu pun sepakan kencang Gumbs berjaya ditolak keluar oleh benteng pertahanan Sabah.
Pada minit ke-58, Reinaldo dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Marcus Magno dan Reinaldo pantas menyerbu pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti.
Keputusan pengadil perlawanan, Mohd. Rashdi Hamad itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Sabah yang menyaksikan mereka bertindak membaling objek dan membakar mercun ke dalam padang.
Situasi itu memaksa pasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) keluar berkawal di sekeliling stadium.
Perlawanan semakin rancak ketika menghampiri babak akhir.
Kedah berpeluang membuka jaringan pada masa kecederaan apabila Hasmawi berjaya melepasi kawalan tiga pemain Sabah tetapi percubaannya melewati palang gol.
Sabah turut mendapat dua peluang terbaik menerusi sepakan percuma.
Sepakan Reinaldo yang melencong ke tengah kotak penalti bagaimanapun gagal ditanduk kemas Zakiel Leong yang melepasi palang gol.
Reinaldo turut mencuba satu lagi sepakan percuma tetapi tidak ada mana-mana pemain Sabah yang berjaya menolak masuk ke dalam gawang Kedah ketika berlaku perebutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan