Ahad, 2 April 2017

Kedah kembali berikan saingan



ARKIB : 09/07/2003

KEDAH menghidupkan kembali saingan merebut kejuaraan Liga Perdana Satu selepas menyaksikan mereka menang ke atas Perlis 2-0 sambil pendahulu liga, Perak tumpas dengan jaringan yang sama kepada Johor FC, semalam.

Dengan kemenangan di Stadium Darul Aman itu, Kedah melonjak di tangga kedua liga manakala Perlis tergelincir ke tangga ketiga.

Kedua-dua gol Kedah dijaringkan Amirul Nizam Mahadzir pada minit ke-3 dan Mohd. Fauzie Nan pada minit ke-28.

Perak bagaimanapun masih kekal di persada liga biar pun tewas 2-0 kepada Johor FC dalam perlawanan di Stadium Pasir Gudang itu.

Walaupun menurunkan penyerang baru mereka, Frank Seator, Perak gagal menyerlah sebaliknya Johor FC mudah meratah pertahanan lawannya itu menerusi jaringan Edy Helmi Abd. Manan (m-33) dan Hairy Azly Mahamad (m-65).

Perak kini kekal 41 mata diikuti Kedah dan Perlis yang mempunyai sama 38 mata tetapi dipisahkan melalui perbezaan jaringan yang memihak kepada Kedah.

Di Stadium Shah Alam, derita Selangor tambah parah apabila tewas lagi, kali ini kepada Pahang dengan keputusan 2-1.

Seawal minit ke-5 lagi, Pahang sudah membolosi gawang Selangor menerusi Fadzli Saari sebelum Azizul Kamaluddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-42. Jaringan Jaafar Salleh pada minit ke-69 selepas itu bagaimanapun sudah terlambat buat Selangor.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tercorot liga, Terengganu.

Gol-gol Melaka dijaringkan Mohd. Sufian Samsubari pada minit ke-17 dan 38 manakala gol ketiga dijaringkan Emir Dzafic pada minit ke-40.

Pulau Pinang pula mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan di Stadium Batu Kawan.

Gustavo Romero menjaringkan kedua-dua gol buat Pulau Pinang pada minit ke-37 dan 82 manakala gol tunggal Sabah dijaringkan Robert Gasper pada minit ke-46.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV Kota Bharu, Kelantan sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Telekom Melaka.

Dua gol Kelantan diperoleh melalui Fatrurazi Rozi pada minit ke-10 dan Akmal Ahmad Tabarani pada minit ke-19.

Gol Telekom Melaka pula dijaringkan Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-25 dan gol sendiri pemain Kelantan, Mohd. Shahrul Ezrain pada minit ke-57.

Perlawanan sedikit tercemar apabila penyokong tuan rumah membaling mercun di minit-minit terakhir perlawanan kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d5ZsFqET© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan