Sabtu, 22 April 2017

Liga Super: Kedah gagal sekat Perak

ARKIB : 26/05/2004
KEDAH gagal memperbaiki kedudukan di tangga terbawah bola sepak Liga Super selepas kecundang 2-1 kepada pasukan jiran, Perak dalam aksi di Stadium Darulaman, Alor Star, semalam.
Sebaliknya kemenangan Perak merapatkan kedudukan skuad Seladang di tangga ketiga dengan 15 mata selepas lapan perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Pahang yang mengumpul 18 mata dan satu mata di belakang Public Bank.
Kedah, yang hanya meraih satu kemenangan dan satu seri, mencatat kekalahan kali keenam semalam untuk kekal di tangga terbawah dengan empat mata, tiga mata di belakang Sarawak dan Pulau Pinang.
Segalanya tidak menjadi buat skuad Kenari dalam perlawanan semalam biarpun penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menggembirakan kem Kedah dengan gol pembukaan pada minit ke-24.
Kegembiraan itu hanya seketika apabila Perak memperoleh gol penyamaan menerusi penyerang import dari Liberia, Frank Seator pada minit ke-66.
Kedah berusaha bertahan untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata tetapi seorang lagi pemain import Perak, Luciano Esus meranapkan harapan pasukan tuan rumah dengan gol kemenangan ketika permainan berbaki tiga minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan