Isnin, 3 April 2017

Kedah tidak putus asa



ARKIB : 04/08/2003

MESKIPUN kecewa kerana gagal meraih gelaran juara Liga Perdana Satu musim ini, Kedah tidak berputus asa untuk meneruskan perjuangan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia selepas ini.

Pengurus pasukan, Datuk Shukri Hashim berkata, para pemain telah memberikan sumbangan mereka yang terbaik dalam perlawanan terakhir menentang Sabah malam semalam tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan itu apabila hanya mampu seri 1-1.

``Mereka bersungguh-sungguh untuk menang tetapi pada masa yang sama, pasukan Sabah memberikan saingan yang hebat walaupun kedudukan mereka tidak akan berubah seandainya memenangi perlawanan itu,'' kata beliau setibanya bersama para pemain pasukan itu dari Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas semalam.

Pasukan itu disambut oleh lebih 50 penyokong yang kebanyakannya ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah (KEPDA).

Setiausaha KEPDA, Fadzil Mohd. Ariffin berkata, mereka hadir untuk memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepada pasukan walaupun Kedah terlepas gelaran juara liga.

Keputusan seri antara Kedah dan Sabah itu telah membolehkan Perak menjuarai gelaran tersebut apabila memenangi perlawanan mereka dengan mengalahkan Melaka 6-1.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4dBp3BeEu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan