Sabtu, 29 April 2017

Kedah mahu ulangi era gemilang

ARKIB : 18/10/2004
WALAUPUN bangkit di hujung musim, pasukan Kedah yang layak ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia kembali mendapat perhatian peminat yang sebelum ini agak kecewa dengan persembahan hambar sepanjang Liga Super musim ini, lapor SOPHA SULAIMAN
Presiden Persatuan Bola Sepak Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Syed Razak Syed Zain mahu pemain berazam kuat untuk mengembalikan semula kegemilangan Kedah dalam saingan Piala Malaysia seperti mana yang dicapai pada penghujung 80an dan awal tahun 1990an.
Beliau yang juga adalah Menteri Besar Kedah berkata, pemain akan menerima ganjaran lawatan ke luar negara jika mereka mampu membawa pulang Piala Malaysia kali ini.
Bagaimanapun semasa meraikan pemain di Stadium Darulaman dua hari lalu, Syed Razak tidak menyatakan negara mana yang akan dilawati oleh pemain-pemain tersebut sekiranya berjaya menjulang piala tahun ini.
Pada peringkat suku akhir pertama lalu, Kedah seakan-akan tersingkir setelah kalah 0-2 kepada Selangor Public Bank di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Bagaimanapun skuad Kedah bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah bangkit mendadak menundukkan Pub-lic Bank 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Star pada 6 Oktober lalu.
Kemenangan dengan agregat 3-2 memastikan kemaraan Kedah ke separuh akhir dan akan bertemu Sabah sementara Perlis akan menentang Pahang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan