Jumaat, 28 April 2017

Kedah mula tunjuk garang

ARKIB : 16/09/2004
KEDAH menghadiahkan kekalahan pertama buat Pahang dalam persaingan bola sepak Piala Malaysia apabila menundukkan juara Liga Super itu 2-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam tadi.
Perlawanan antara dua bekas juara itu dalam Kumpulan A berlangsung hambar pada babak pertama, menyaksikan permainan terlalu berhati-hati oleh kedua-dua pasukan.
Namun Kedah, yang kali terakhir menjulang trofi keramat itu pada 1993, mengubah rentak selepas rehat dan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli memulakan rentak kemenangan skuad Kenari apabila percubaannya pada minit ke-65 masuk ke gawang dan Shahriman Che Omar menyusul dengan jaringan minit ke-82.
Kemenangan itu sekali gus membantu Kedah merampas tangga teratas Kumpulan A dengan kini mengumpul tujuh mata diekori oleh Pahang yang merosot ke tangga kedua dengan enam mata.
MK Land pula menumpaskan PKNS 3-0 di Stadium MPS, Selayang untuk mengukuhkan saingan mereka di tangga ketiga Kumpulan A dengan lima mata. PKNS pula terus hampa apabila kalah kesemua perlawanan setakat ini.
MK Land mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Milan Mikac (6) dan Mohd. Fairuz Mohd. Noor (8). S. Paidiya Rau menyempurnakan aksi kemenangan MK Land dengan gol pada minit ke-88.
Pulau Pinang meneruskan langkah bergaya dalam Kumpulan B apabila menundukkan Negeri Sembilan 5-1, kemenangan kali ketiga berturut-turut.
Stadium Bandaraya yang baru diguna semula jelas gelanggang keramat buat Pulau Pinang, mendahului 2-0 pada babak pertama.
Viatcheslav Melnikov hanya memerlukan sepuluh minit untuk menghasilkan gol pertama tuan rumah diikuti oleh jaringan S. Nanthakumar (minit 16), Zulhisyam Jamaludin (49, 76) dan Mohd. Saufi Ibrahim (73). Negeri Sembilan membalas menerusi Efendi Abd. Malek (62).
Pulau Pinang kini kukuh di tangga teratas dengan sembilan mata diikuti oleh Perak, MPPJ Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengumpul tiga mata.
Dalam aksi Kumpulan D, Johor FC dan Telekom Melaka sekadar seri tanpa jaringand di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Ia membolehkan Johor FC mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan lima mata diekori oleh Sabah.
Jaringan pemain dari Brazil, Andre Esposito pada masa kecederaan babak pertama memastikan naib juara dua kali berturut-turut pada 2002 dan 2003, Sabah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang menyaksikan banyak kad kuning dilayangkan.
Juara 29 kali, Selangor menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali gus mengambil alih tangga teratas daripada Public Bank berdasarkan perbezaan jumlah gol.
Selangor memperoleh gol menerusi Fairuz Montana Zainal Abidin (58) dan Ante Kovacevic (75) manakala Marcelo Daroca membalas untuk Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti pada minit ke-90.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan