04 November 2016 12:14 AM
Mohd. Rizal Ghazali (depan)
bakal meninggalkan Kedah musim depan.
TELOK KEMANG 3 Nov. – Kedah
dijangka kehilangan bintang final Piala Malaysia, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali
yang dikatakan bakal meninggalkan skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia
(Liga M) musim depan.
Pemain itu menimbulkan
tanda-tanya apabila memuat naik status yang menggambarkan dia bakal beraksi
bersama pasukan lain menerusi laman Instagram baru-baru ini.
Bek kanan itu juga mengucapkan
selamat tinggal kepada pasukan selepas beraksi selama tiga tahun.
Malah, pemain berusia 24 tahun
itu juga mengucapkan terima kasih terhadap pengalaman yang diraih sepanjang
beraksi dengan gergasi bola sepak utara tanah air itu dalam status Instagram
tersebut.
Rizal mengakui, dia ada
menerima tawaran menyarung jersi sebuah pasukan lain untuk kempen musim depan.
Bagaimanapun, pemain itu
menjelaskan dia hanya akan membuat keputusan selepas kejohanan Piala AFF yang
bermula 20 November ini.
“Pada masa ini Kedah adalah
majikan saya. Saya masih ada kontrak sehingga bulan ini.
“Bagaimanapun saya tidak mahu
komen lanjut kerana mahu fokus kepada persiapan skuad kebangsaan dalam saingan
Piala AFF.
“Saya akan buat keputusan
selepas kejohanan itu,” katanya ketika ditemui semasa Kem Bina Semangat skuad
kebangsaan bagi Piala AFF di Port Dickson di sini hari ini.
Ditanya mengenai komennya dalam
Instagram, dia mengakuinya namun enggan mengulas lanjut.
Dia mengakui kontraknya dengan
Kedah bakal berakhir bulan depan sekali gus bebas untuk membuat keputusan
mengenai masa depannya.
Nama pemain itu melonjak
selepas menjaringkan gol pertama dan penalti semasa Kedah menewaskan Selangor
menerusi penentuan penalti 6-5 dalam final di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Berikutan persembahan cemerlang
itu, dia dikatakan mula menjadi buruan beberapa pasukan dalam Liga M.
Sementara itu, kapten Kedah,
Baddrol Bakhtiar ketika mengakui, beberapa pemain skuad itu bakal meninggalkan
pasukan berkenaan.
Katanya, itu adalah perkara
biasa namun yakin Kedah mampu mengekalkan prestasi terbaik pada musim depan.
SUMBER- UTUSAN ONLINE 04 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan