Selasa, 15 November 2016

Kenari berjaya jinakkan Singa Utara

ARKIB : 07/03/1999
KEDAH hanya memerlukan pemain simpanan untuk mematahkan taring Singa Utara 3-1 dalam perlawanan pertama dengan Perlis bagi merebut Piala Dunhill di Stadium Darul Aman di Alor Setar, malam semalam, lapor YUSRI SAHAT.

Skuad Hijau Kuning yang hampir kesemuanya dibarisi pemain simpanan menjaringkan ketiga-tiga gol pada separuh masa kedua selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Gol-gol Kedah dijaringkan oleh Nurul Ahyat Alias pada minit ke-50 sebelum menyusul gol kedua empat minit kemudian menerusi Izham Darus dan gol penutup oleh Rafiz Abu Bakar pada minit ke-83.

Gol tunggal Perlis pula disumbat oleh bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah.

Kemenangan itu sekali gus meneruskan lagi badi kekalahan Perlis ke atas Kedah dan laluan yang sukar sudah pasti menanti Perlis ketika melayan Kedah di Kangar pada 12 Mac ini.

Awal babak menyaksikan Singa Utara yang dibarisi oleh pemain utama memulakan permainan dengan aksi garang selepas melihat barisan pemain Kedah yang masih muda dan kurang berpengalaman di dalam kancah persaingan Liga Perdana.

Beberapa percubaan yang diterajui oleh Mohd. Shukerin dan Yusri Che Lah berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan Kedah yang jelas masih kurang persefahaman.

Gawang Hijau Kuning akhirnya terbolos akibat kealpaan barisan pertahanan selepas satu tandukan tajam Yusri ke dalam gawang selepas menerima hantaran silang.

Permainan Perlis bertambah yakin selepas memperoleh gol tunggal itu sehingga berakhir babak pertama.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan Kedah apabila memperoleh gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi Nurul selepas menerima satu hantaran silang daripada Ahmad Zalfakari Manaf.

Belum pun sempat Perlis mengatur semula strategi, Kedah berjaya menjarakkan jurang gol melalui gol kedua yang dihasilkan oleh Izham pada minit ke-54.

Ketua jurulatih Perlis, Tajuddin Nor bertindak memasukkan penjaga gol simpanan, Viruk Run bagi mengantikan Roslan Hussein.

Namun begitu, perubahan itu tidak mengubah nasib Perlis apabila Kedah terus menguasai permainan dengan gol ketiganya melalui sepakan penalti yang diambil oleh Rafiz pada minit ke-83.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q5Pry4rx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan