KHABAR DARI NEGERI
JAMLIAH ABDULLAH IALAH KETUA
BIRO UTUSAN MALAYSIA KEDAH | 02 November 2016 6:05 PM
PEMAIN Kedah meraikan kejayaan
mereka dengan menjulang Piala Malaysia
PEMAIN Kedah meraikan kejayaan
mereka dengan menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir Piala Malaysia
2016 setelah mengalahkan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di
Stadium Shah Alam malam kelmarin. BERNAMA
SEMALAM, Piala Malaysia kembali
ke bumi Kedah melewati penantian yang agak panjang iaitu setelah lapan tahun
dan melalui jerit-perih yang agak melelahkan kerana usaha membawa piala keramat
itu pulang bukan mudah.
Tanpa berlapis-lapis kata, hati
orang Kedah sudah girang bersulam senyum yang berbunga-bunga sejak malam Ahad
lalu setelah pasukan Lang Merah itu mengalahkan The Red Giants dengan
penentuan melalui penalti 6-5 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam,
Selangor, selepas terikat 1-1 dalam masa tambahan.
Penulis masih ingat keterujaan
rakyat negeri ini menyambut kepulangan pemain Kedah bersama piala itu pada 2008
dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Stadium Darul Aman dan suasana itu
berulang hari ini.
Demikian orang Kedah dan bola
sepak memang tidak dapat dipisahkan melepasi batas perbezaan politik, jantina
mahupun latar belakang jadi kemenangan ini sangat bermakna.
Apatah lagi Piala Malaysia,
kerana kejuaraan double treble pada 2007 dan 2008 dalam liga sama dulu turut
melayakkan Kedah menempa kemasyhuran dalam arena bola sepak negara dan
kejayaan sama diharapkan pada edisi berikutnya.
Banyak faktor membolehkan Piala
Malaysia kembali ke Kedah tahun ini dan yang pertama tentu komitmen tinggi
pemain skuad Lang Merah yang beraksi pada perlawanan itu apatah lagi lawan mereka
bukan calang-calang pasukan tetapi Gergasi Merah yang bergelar pasukan
terbanyak meraih gelaran dalam liga itu.
Tahniah juga diucapkan kepada
pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) terutama Menteri Besar, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga presidennya kerana berjaya mengemudikan
persatuan dengan cemerlang sehingga Lang Merah mencatatkan kejayaan itu.
Walaupun Menteri Besar itu
lebih banyak menghabiskan masa di belakang tabir daripada berada di gelanggang
namun beliau dikatakan berusaha keras merancang strategi termasuk memperoleh
dana membiayai pasukan itu.
Memetik kata-kata Ahmad Bashah
ketika KFA dilanda konflik gara-gara syarikat yang dicanangkan untuk menaja
pasukan itu tidak jadi berbuat demikian, katanya, “Bermainlah elok-elok, soal
gaji, bonus jangan fikirkan, biar KFA yang usahakan.”
Apa yang penting beliau
mengotakan janji itu sebaik mungkin demi memastikan pasukannya tidak terjebak
dengan apa juga masalah termasuk kewangan.
Terima kasih juga perlu
diberikan kepada penaja utama skuad Lang Merah ini, Bina Darulaman Berhad (BDB)
yang turut memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak Kedah apabila
bersetuju menaja KFA.
Konflik penajaan KFA pada
pertengahan tahun lalu jika tidak ditangani dengan betul sudah tentu merencatkan
langkah Lang Merah namun syarikat korporat berkenaan meletakkan kepercayaan
kepada kemampuan pasukan itu dan tampil sebagai penyelamat.
Apa yang diharapkan lebih
banyak syarikat korporat terutama syarikat milik kerajaan (GLC) mengikut jejak
BDB untuk membantu pembangunan sukan negeri ini terutama bola sepak.
Anggaplah penajaan untuk sukan
itu bukan semata-mata kerana pelaburan yang menguntungkan namun lebih kepada
tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada rakyat negeri ini yang sentiasa
berharap sukan kita bertambah maju.
Semangat penyokong Lang Merah
juga perlu diberi pujian yang berusaha membanjiri stadium dalam apa juga
perlawanan di mana sahaja demi memberi sokongan kepada skuad mereka itu.
Tentu sahaja penat lelah
beratur termasuk bermalam di perkarangan Stadium Darul Aman semata-mata untuk
mendapat tiket Piala Malaysia dahulu berbayar dengan kemenangan ini.
Itu belum lagi dikira pelbagai
gimik yang diadakan oleh penyokong semata-mata menaikkan semangat pasukan Hijau
Kuning menjelang perlawanan itu sebelum ini.
Itulah semangat, Pulun Kedah
Pulun penyokong Kedah yang terbaik dalam kalangan penyokong bola sepak
kebangsaan.
Lebih manis ikrar untuk
menghadiahkan piala tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Muadzam Shah yang akan berangkat pulang ke Kedah, Disember ini terlaksana juga.
-sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/piala-8216-kembali-8217-ke-jelapang-padi-1.402513#sthash.HcflrWl2.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan