ARKIB : 30/11/2004
KEDAH akan turun ke padang dalam babak akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini dengan cita-cita untuk membawa pulang piala berprestij itu biar pun berdepan dengan lawannya, Perlis yang dianggap sebagai `adik'.
Status itu tidak menganggu tumpuan para pemain Hijau Kuning yang kini giat menjalani latihan menjelang detik mendebarkan yang hanya tinggal empat hari sahaja lagi.
Pasukan itu menganggap kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya memberikan peluang kepada Perlis sebagai adik kerana Kedah sebagai abang pernah merangkul Piala Malaysia, sebagai gurauan bagi menceriakan suasana menjelang perlawanan akhir tersebut.
Memandangkan perlawanan akhir adalah sesuatu yang serius, kedua-dua pasukan dijangka merangka formula yang paling berkesan untuk memenangi perlawanan tersebut yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Kuala Lumpur.
Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, perlawanan tersebut adalah penting bagi Kedah yang mengharungi musim ini dengan suram berikutan prestasi yang menghampakan semasa saingan Liga Super.
Pada saingan Liga Super, Kedah menduduki tangga tercorot daripada lapan pasukan yang bertanding dengan hanya memperolehi 15 mata daripada 21 perlawanan. Sepanjang saingan, Kedah hanya menang empat perlawanan, seri (tiga) dan tumpas dalam 14 perlawanan.
Bagaimanapun, Kedah kembali bernafas dalam saingan Piala Malaysia apabila muncul juara Kumpulan A yang turut dibarisi oleh Pahang, MK Land dan PKNS. Kedah mengutip 14 mata daripada enam perlawanan dengan menang sebanyak empat kali dan seri sebanyak dua kali.
Katanya, tumpuan kini adalah untuk mempertajamkan barisan serangan bagi memastikan mereka mampu mencari gol sepanjang perlawanan tersebut.
Beliau berasa lega kerana penjaring gol terbanyak pasukan, Marcos Morales akan kembali beraksi selepas terlepas peluang bermain pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu lalu menentang Sabah selepas menerima kad kuning kedua dalam separuh akhir pertama di Sabah.
Mohd. Azraai berkata, Kedah dijangka menurunkan pasukan yang terkuat walaupun akan merasai kehilangan Akmal Rizal Rakhli yang masih belum pulih daripada kecederaan.
``Kita mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian dan para pemain kini sudah sedia untuk menggalas cabaran yang bakal dihadapi, Sabtu ini,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan