Selasa, 20 Disember 2016

Kedah naik tangga teratas

ARKIB : 06/05/2000
KEDAH melonjak ke tangga teratas selaku pendahulu baru bola sepak Liga Perdana Dua selepas menang tipis 1-0 ke atas Johor FC pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Skuad Kenari mengambil kesempatan itu selepas pendahulu sebelum ini, Kelantan cuma mampu seri 2-2 dengan KL Malay Mail di Cheras.

Pemain pertahanan, Khamal Idris Ali menjadi wira Kedah apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti Johor FC pada minit ketujuh menghasilkan gol tunggal perlawanan itu dan tiga mata buat Kenari.

Johor FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 melalui tendangan Harun Laban, bagaimanapun pengadil perlawanan, Azimi Abdullah membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati dan kebanyakan bola hanya berlegar di kawasan tengah padang.

Johor FC yang ketinggalan satu gol telah membuat banyak serangan tetapi tersasar kerana penyudah yang lemah.

Kelantan yang berkongsi lima mata di tangga teratas dengan KL Malay Mail, menerima tentangan sengit pasukan tuan rumah sebelum perlawanan tamat dengan kedudukan seri 2-2 di Stadium KLFA, Cheras.

KL Malay Mail lebih dulu membuka jaringan menerusi Mohd. Shah Mohd. Nor pada minit ke-28 tetapi bekas pemain kebangsaan, Annuar Abu Bakar menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-52.

Begitupun, pasukan tuan rumah kembali di depan enam minit kemudian menerusi U. Suresh tetapi Safri Kassim menyelamatkan maruah Kelantan dengan gol penyamaan sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan penyerang, Sri Jaafar Abdul Rahman memberikan tiga mata penuh buat Melaka yang menewaskan pasukan tuan rumah NS Chempaka 2-1.

Gol-gol Sri Jaafar hasil jaringan mudah di depan gawang lawan pada minit ke-10 dan 59 manakala gol tunggal NS Chempaka oleh R. Sekar minit ke-44.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu, JKR Kelantan turut memungut tujuh mata selepas menewaskan Telekom Melaka 2-1.

Tetapi perbezaan gol lebih memihak kepada Kedah untuk JKR Kelantan menduduki tangga kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TSNNkc1b © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan