Khamis, 22 Disember 2016

Giliran Kedah kuasai liga


 

 ARKIB : 20/05/2000
PEMAIN KL Malay Mail, S. Sangar (kanan) berusaha menyekat kemaraan salah seorang pemain Tentera pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam. Tentera menang 1-0. - Gambar RASHID MAHFOF

KEDAH mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menewaskan NS Chempaka 1-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.

Dengan kemenangan itu, Kedah memungut 13 mata daripada enam perlawanan, dengan empat kemenangan dan satu seri.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Badrul Hisham Abdullah pada minit kesembilan.

Kedah bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang menambah jaringan walaupun NS Chempaka terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada separuh masa kedua selepas Md. Raizuwah Idris diperintah keluar padang pada minit ke-45.

Kedah bertindak agresif seawal permainan bermula dengan melakukan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan lawan dalam usaha mendapatkan gol awal.

Hasil asakan bertalu-talu, Kedah akhirnya berjaya menembusi gawang NS Chempaka menerusi Badrul Hisham Abdullah yang menolak masuk bola ke dalam gol selepas menerima satu sepakan sudut pada minit kesembilan.

Dalam perlawanan di Stadium Kubu, Melaka gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri buat kali pertama, apabila sekadar seri 1-1.

Melaka bermula garang di separuh masa kedua dan memperoleh sepakan penalti pada minit ke-49, setelah penyerangnya Mohd. Rizalruddin Ghani dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan, Rosmaini Ismail, dalam kotak penalti.

Saiful Bahri menjaringkan gol pembukaan perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail.

Walaupun ketinggalan, Kelantan tidak berputus asa sebaliknya bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Anuar Abu Bakar bertindak berani melayangkan dirinya dari satu hantaran silang.

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Pasir Gudang, semalam Johor FC mencatat kemenangan kedua dengan menundukkan Telekom Melaka 3-2.

Telekom Melaka mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-18 apabila Tan Gim Hong berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kawasan kotak penalti pasukan lawan lalu menewaskan penjaga gol pasukan Johor FC, Amirullah Abd. Ghani.

Wirat Nom menambah derita Johor FC apabila membuat sepakan lambung yang cantik dari jarak 25 meter lalu menewaskan penjaga gol pasukan pelawat Shamsul Sabtu.

Pasukan tuan rumah berjaya merapatkan jurang melalui Sheikh Ahmad Redzuan pada minit 80 setelah membuat sepakan leret di hadapan pintu gol menewaskan V. Murugan.

Sheikh Ahmad Redzuan menjaringkan gol pada minit ke-83 selepas menguis masuk hantaran leret di hadapan pintu gol lalu menewaskan V. Murugan.

Sheikh Ahmad menambah gol ketiganya untuk pasukan Johor FC pada minit ke-87, apabila membuat tendangan cantik menewaskan Shamsul Sabtu setelah menerima hantaran dari Hamzani Omar.

Di Stadium KLFA, Cheras Angkatan Tentera mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Malay Mail.

Gol tunggal kemenangan Tentera dijaringkan oleh Endrew Lawadin pada minit ke-50.

Sementara itu di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kelantan JKR dan Kelantan TNB seri 3-3.

Kelantan JKR mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Tengku Marzuki Tuan Mat pada minit ke-12, sebelum Roslan Hassan melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.

Kelantan TNB merapatkan jurang pada minit ke-50 menerusi Zainuddin Ariffin dan Nordin Mohd. Shukri menyamakan kedudukan pada minit ke-74.

Perlawanan bertambah sengit pada minit ke-86 apabila Mohd. Azli Mahmud menjaringkan gol ketiga Kelantan JKR , tetapi TNB sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Zainuddin di minit terakhir.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Ta2Kobr1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan