ARKIB : 06/05/1999
RENTAK permainan perlahan dan
bertahan yang diamalkan oleh Kedah berjaya memperdaya Telekom Melaka sekali gus
meranapkan impian pasukan dari negeri 'Hang Tuah' itu mara ke suku akhir pada
perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, kelmarin.
YUSRI SAHAT melaporkan, Telekom
Melaka yang ketinggalan 1-2 pada pertemuan pertama di Stadium Kubu, 20 April
lalu, memulakan babak dengan agresif, namun sering kali kali terperangkap dan
terikut-ikut dengan aksi perlahan kesebelasan Kenari.
Sekalipun rentak hambar yang
disajikan oleh Kedah kurang disenangi penyokong, namun itulah taktik yang
dimahukan oleh jurulatih, Azman Eusoff untuk mengekang Telekom Melaka yang amat
memerlukan kemenangan pada perlawanan kelmarin.
Strategi yang dipertaruhkan
oleh jurulatih itu begitu menjadi berikutan kurangnya tekanan yang dilakukan
oleh Telekom Melaka ke atas Kedah.
Percaturan Azman yang
mengeluarkan Izham Abas dan memasukkan pemain muda, Wirat Nom nyata membuahkan
hasil apabila pemain berketurunan Thai itu menyumbat satu gol bagi memberi
kemenangan kepada Kedah dengan agregat 3-1.
Azman sempat berpesan kepada
pemainnya bahawa kemenangan yang ada ketika mendahului dengan agregat 2-1 perlu
dipertahankan dan pemain tidak perlu terlalu ghairah untuk menambahkan
jaringan.
Dan, pesanan itu nyata dipegang
sebaiknya oleh anak-anak buahnya sebagaimana yang direalisasikan di atas
padang.
''Jika Kedah mengamalkan
permainan serangan terbuka, pelbagai kemungkinan akan berlaku termasuk peluang
Telekom Melaka mendapat gol,'' katanya ketika dihubungi di Alor Setar, semalam.
Pengalaman bermain dengan Perak
yang menyaksikan Kedah tersungkur di Ipoh 1-2 merupakan bekal paling berguna
ketika menentang Telekom Melaka.
Sikap terlalu yakin untuk
mencipta kemenangan dan corak serangan terbuka ketika menentang pasukan
Seladang pada saingan Perdana Satu telah membawa padah kepada Kedah.
''Saya tidak mahu lagi sejarah
hitam itu berulang lagi dan menghalang usaha kami membawa pulang piala
berprestij itu,'' ujarnya.
Azman yang telah menduga kemenangan
berpihak kepada pasukannya malam tadi berkata, sikap patuh pemain kepada segala
arahannya merupakan kunci utama kejayaannya.
Beliau juga berbangga dengan
prestasi para pemain muda termasuk Wirat Nom yang berjaya menghasilkan jaringan
dalam persembahan sulungnya kelmarin.
Mengenai pertemuan dengan Sabah
yang bakal dihadapi pada suku akhir nanti, katanya, Kedah akan memastikan
kemenangan berpihak kepada pasukannya walaupun bermain di tempat lawan pada
perlawanan pertama nanti.
''Kemenangan di tempat lawan
akan memudahkan laluan Kedah apabila Sabah bertandang ke Alor Setar pada
perlawanan kedua,'' tambahnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RjTUgjHf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan