aRKIB : 17/07/2008
KEMBALINYA Datuk Ahmad Basri Akil (gambar) ke Rahmatullah selepas diserang sakit jantung, kelmarin meninggalkan satu kesan yang mendalam kepada persada bola sepak negara.
Walaupun lebih dikenali sebagai pengkritik yang lantang, namun sumbangan serta semangatnya yang begitu cintakan bola sepak memang tidak boleh dipertikaikan.
Satu-satunya tokoh yang berani mengkritik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi identiti sejati beliau ketika hayatnya.
Malah, dalam beberapa perkara, kritikannya yang keras tidak disenangi.
Namun, selepas ketiadaannya, ternyata segala kritikan itu terus menjadi ingatan yang tidak pernah padam.
Orang mula mengakui kebenaran dengan kritikan Ahmad Basri tentang program pembangunan bola sepak negara.
Kewujudan akademi bola sepak yang dipertahan dan diperjuangkan Allahyarham ada asasnya, jika tidak takkan mutu bola sepak skuad kebangsaan terus merudum dan memalukan.
"Saya melihatnya sebagai satu sumbangan atau idea ke arah pembangunan permainan ini dan tidak lebih daripada itu," katanya sebaik dihukum gantung selama empat tahun pada 2001.
Namun, atas semangat cintakan bola sepak, Allahyarham tidak berhenti daripada mengkritik dan sekali lagi dihukum gantung selama tiga tahun pada 2006.
Rentetan penggantungan itu menjadi satu kerugian kepada pembangunan sukan bola sepak negara yang tidak menggunakan sebaik-baiknya kebolehan Allahyarham dalam merencanakan program yang berkesan.
Namun, ketika tempoh itu, Ahmad Basri mampu menjulang Kedah menjadi sebuah negeri yang berjaya sebagai kuasa bola sepak tempatan.
Sepanjang memegang jawatan timbalan presiden, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) selama 11 tahun mulai 1986, Kedah bangkit daripada sebuah pasukan belasahan menjadi pasukan yang digeruni dalam liga tempatan.
Allahyarham berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1987, 1988, 1989, 1990, 1992 dan 1993.
Ini termasuk muncul juara dua kali pada 1990 dan 1993. Tahun 1993 juga, Kedah merangkul Piala Liga.
Selain Piala Malaysia, Kedah juga berjaya merangkul dua kali Piala Sumbangsih (1991, 1994) dan yang terakhir Piala FA pada 1996.
Hakikatnya kita sudah kehilangan pengkritik paling berani dan pencinta bola sepak sejati yang benar-benar ikhlas untuk membantu menjulang imej bola sepak negara.
AL-FATIHAH
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zlgiEqI1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan