Sabtu, 18 November 2017

Kedah dapat laluan mudah ke separuh akhir



ARKIB : 30/03/2008

KUALA LUMPUR – Di atas kertas, undian Piala FA musim ini dilihat memberi peluang mudah kepada Kedah untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila bertemu Melaka, berbanding Selangor yang terpaksa melayani Kuala Muda Naza.

Pertemuan pertama bagi perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA itu akan diadakan pada 8 April manakala pertemuan kedua pada 22 April ini.

Kedah yang kini mengungguli Liga Super dengan 44 mata, lima mata meninggalkan Selangor yang berada di tempat kedua dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk menewaskan Melaka.

Namun begitu, penolong Pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin menolak ramalan tersebut dan menyatakan bahawa pasukannya perlu berhati-hati serta tidak mengambil mudah pada pertemuan tersebut.

Katanya, Kedah tidak boleh memandang rendah kepada prestasi mana-mana pasukan, terutamanya kepada pasukan yang telah pun membuktikan keupayaan masing-masing dalam Piala FA.

Menurut Syed Khairol, pasukan kendaliannya itu tidak akan mendabik dada meskipun akan menghadapi pasukan di Liga Perdana, Melaka yang kini berada di lima pasukan terbawah liga.

“Kita akan bermain dengan sebaik yang mungkin. Perlawanan ini bukanlah lagi di peringkat untuk mencuba dan kami akan mencari bekalan selesa pada pertemuan pertama di Melaka pada 8 April ini,” katanya selepas undian di sini, semalam.

Hadir sama pada undian tersebut ialah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad dan wakil-wakil pasukan yang bertanding.

Ditanya tentang Kedah yang sering bernasib baik pada pertemuan Piala FA, Syed Khairol berkata, ia adalah rezeki kepada pasukan itu dan pasukannya sentiasa bernasib baik.

Katanya, laluan mudah Kedah itu mungkin berkat daripada doa para pemain dan pegawai pasukan.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, pasukan bimbingannya akan menghadapi sebuah pasukan yang tidak kurang hebat di dalam kancah bola sepak tempatan, Kuala Muda Naza yang kini menghuni di tangga kedua Liga Perdana.

Katanya, Selangor perlu memberi penumpuan lebih pada pertemuan tersebut dan tidak akan bersifat sambil lewa jika mahu melangkah lebih jauh pada piala tersebut.

“Kita akan jadikan perlawanan suku akhir ini macam perlawanan akhir. Kuala Muda Naza adalah sebuah pasukan yang solid dan mempunyai pemain-pemain berpengalaman.

“Apa sahaja boleh berlaku di dalam pertandingan Piala FA dan contoh terbaik adalah pertandingan Piala FA di England, yang mana pasukan hebat Liverpool juga tewas kepada pasukan kerdil,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yqNEvI00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan