ARKIB : 31/03/2008
KUALA LUMPUR Kedah meneruskan
rentak kemenangan untuk kekal sebagai pendahulu Liga Super selepas membenamkan
DPMM Brunei 4-1 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, semalam.
Biar pun menurunkan ramai
pemain Piala Presiden, Kedah tetap garang dengan memperoleh gol menerusi Badrul
Bakhtiar (m-10, 28), Mohd. Fadly Baharom (m-38) dan Marlon Alex James (m-83)
manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Didier Belibi (m-43).
Dengan kemenangan itu, Kedah
mengumpul 47 mata daripada 19 perlawanan meninggalkan Selangor lima mata di
depan di tangga kedua.
Selangor turut mencatat
kemenangan semalam menewaskan Perlis 2-0 pada perlawanan di Stadium Utama
Negeri, Kangar.
Kedua-dua gol pasukan pelawat
itu dijaringkan Frank Seator pada minit ke-33 dan 44 untuk terus menghambat
Kedah di takhta liga.
Perak pula masih kekal di
tangga ketiga liga walaupun hanya mampu seri 1-1 dengan Sarawak pada perlawanan
di Stadium Sarawak.
Gol Perak dijaringkan oleh
Ahmad Shahrul Azhar di minit ke-8, manakala gol Sarawak oleh Nyom Nyom Aloys
menerusi tendangan penalti pada minit 59.
Bagaimanapun Negeri Sembilan
NAZA melonjak ke tangga keempat dengan memintas Terengganu selepas menang
selesa 4-2 ke atas Johor FC di Stadium Pasir Gudang.
Ini selepas Terengganu tewas
mengejut 1-2 di tempat sendiri kepada Pahang pada perlawanan di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Hairuddin Omar menjaringkan
kedua-dua gol buat Pahang pada minit ke-39 dan 90 manakala gol Terengganu
dijaringkan Mohamad Norfarhan (m-72).
Sementara itu, satu lagi
perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah, Pulau Pinang tewas 2-4 kepada
UPB-MyTeam di Stadium Bandaraya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yqRMsa7P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan