Ahad, 26 November 2017

Piala FA: Kedah menang selesa, Selangor belum selamat

ARKIB : 15/06/2008
KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kedah sudah boleh dianggap berada sebelah kaki ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan Pahang 4-1 pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, semalam.

Dua gol di babak pertama menerusi Shafiq Jamal (m-1) dan Khyril Muhymeen (m-28) serta dua gol Fauzi Shaari (m-46) dan Saramsak Kram (m-81) di babak kedua meletakkan Kedah memperoleh bekalan cukup selesa sebelum bertandang pula ke Stadium Darul Makmur untuk separuh akhir kedua pada Selasa ini.

Walaupun beraksi tanpa tiga pemain import, kualiti permainan Kedah yang meletakkan harapan sepenuhnya kepada pemain muda tempatan jelas tidak langsung terjejas.

Mereka mudah mendahului sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila hantaran lintang Badrol Bakhtiar berjaya ditolak masuk Shafiq di depan gawang Pahang.

Khyril kemudiannya mempamerkan kebolehan melakukan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua.

Selepas itu giliran Fauzi mencipta gol ketiga yang caranya seakan serupa dengan gol kedua apabila merembat dari jarak 20 meter.

Biar pun Pahang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Rosdi Talib (m-68) juga menerusi rembatan jarak jauh namun pemain gantian, Saramsak menutup sisa-sisa kebangkitan pasukan pelawat dengan menanduk masuk gol keempat hasil umpanan V. Thirumurugan.

Di Stadium Shah Alam pula, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol di babak pertama sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu dalam satu lagi separuh akhir.

Ashaari Samsudin meletakkan pasukan pelawat lebih dulu di depan pada minit ke-25 tetapi Selangor berjaya membalas dua gol di babak kedua menerusi Shukur Adan (m-68) dan Safee Sali (m-88).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zamynGO9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan