ARKIB : 05/04/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
HASMAWI Hassan tidak dapat
diturunkan gara-gara cedera. Victor Andrag (kanan)
ALOR STAR Pasukan Kedah
berkunjung ke Stadium Shah Alam dalam keadaan tempang apabila kehilangan
beberapa tonggak menjelang pertembungan menarik menentang Selangor, malam ini.
Ketua pasukan, Victor Andrag
dan penyerang utama Sang Kenari, Hasmawi Hassan tidak dapat diturunkan kerana
belum pulih daripada kecederaan manakala Badrol Bakhtiar pula berangkat ke
Chelsea hari ini untuk menjalani latihan di sana.
Lebih memeritkan skuad
kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu ialah para pemainnya kini kepenatan
selepas mengharungi perjalanan jauh menentang kelab South China dalam Piala AFC
di Stadium Mongkok, Hong Kong, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Azraai
tidak rela tercicir sebarang mata dalam perlawanan yang dikatakan bakal memberi
kesan kepada perebutan gelaran Liga Super itu.
Justeru, beliau mengarahkan
anak buahnya supaya memberikan komitmen seratus peratus dan kekal fokus selain
mengikuti setiap arahan yang diberikan ketika latihan dan dari luar padang.
Selangor bukan calang-calang
pasukan dengan mempunyai barisan serangan terkuat dalam liga musim ini. Tetapi
kami mempunyai strategi sendiri dan akan bermain seperti biasa untuk berusaha
memastikan membawa pulang tiga mata ke Alor Star, katanya ketika dihubungi di
Shah Alam, semalam.
Pertembungan kedua-dua pasukan
bola sepak dalam Liga Malaysia itu diibaratkan pertemuan buku dengan ruas
memandangkan Kedah hanya dipisahkan lima mata di persada liga dari Selangor
yang mengekori rapat di tempat kedua.
Termasuk perlawanan malam ini,
kedua-dua pasukan kini hanya berbaki lima perlawanan untuk menamatkan saingan
liga.
Mengulas mengenai kekuatan
Selangor, Mohd. Azraai berkata, pasukan berkenaan mempunyai keupayaan seimbang
di setiap bahagian dengan dibarisi pemain berpengalaman.
Pasukan Kedah pula, katanya,
meskipun berstatus penyandang juara Liga Super tidak boleh leka dan perlu
bermain dengan lebih berhati-hati kerana sedikit kealpaan boleh membawa padah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yrV9sv43
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan