ARKIB : 01/07/2008
Penyerang Johor FC, Mohd. Nurul
Azwan Roya (tengah) cuba melepasi dua pertahanan Pulau Pinang, Azizul Ahmad
Sabri (kiri) dan Mohd. Failee Ghazali pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium
JCorp Pasir Gudang malam tadi.
KUALA LUMPUR - Juara bertahan,
Kedah gagal memanfaatkan kelebihan berdepan sembilan pemain Sabah apabila hanya
mampu seri 3-3 ke atas pasukan tercorot Kumpulan B itu pada saingan bola sepak
Piala Malaysia di Stadium Likas, semalam.
Bagaimanapun nasib lebih buruk
diterima oleh naib juara Piala FA, Selangor apabila mengalami kekalahan kedua
berturut-turut, tumpas 2-5 kepada Kelantan dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium
Sultan Mohamed IV.
Kuala Lumpur pula mengalami
'mimpi ngeri' apabila bukan saja terlepas kedudukan pendahulu Kumpulan B, malah
dibelasah 7-0 oleh Polis di Stadium KLFA, Cheras.
Kedah mengharungi 23 minit
terakhir berdepan sembilan pemain selepas Hishammuddin Othman dan Tragic
Dalibor dilayangkan kad merah pada minit ke-67.
Namun, tuan rumah terlebih dulu
membuka jaringan menerusi Bobby Gonzalez pada minit ke-18 tetapi berjaya
disamakan oleh Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-37.
Beberapa minit sebelum tamat
babak pertama, David Njoku meletakkan Sabah mendahului 2-1, namun lima minit
selepas separuh kedua bermula, Khyril sekali lagi menyamakan kedudukan.
Kedah mendahului buat kali
pertama menerusi Marlon Alex James di minit ke-71, namun Sabah hanya memerlukan
empat minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Wong Sai Kong.
Dalam satu lagi perlawanan
Kumpulan B, Faruzzahar Ali menjaringkan hatrik untuk membantu Johor FC
menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Jcorp, Pasir Gudang.
Sementara itu Negeri Sembilan
mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan A selepas menundukkan Sarawak 2-1 di
Stadium Sarawak.
Dalam satu lagi perlawanan,
Melaka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 1-2
kepada Terengganu di Stadium Hang Jebat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcuWkWU2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan