ARKIB : 24/07/2008
ALOR STAR - Kedah mencerahkan
peluang untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas membelasah Pulau
Pinang 6-2 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Darulaman di sini, semalam,
lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Namun, di hadapan penyokong
sendiri, juara Liga Super dan Piala FA itu yang mengungguli kumpulan berkenaan
dengan mengumpul 18 mata, terlebih dahulu cemas apabila ketinggalan dua gol
menerusi jaringan Mohd. Farizal Ghazali seawal minit minit kesembilan dan gol
sendiri V. Thirumurugan pada minit ke-18.
Bagaimanapun, Kedah bangkit
menghasilkan jaringan menerusi Mohd. Fadly Baharom (minit 33 dan 44), Mohd.
Khyril Muhymeen (minit 51 dan 72), Nelson Sam Martin (minit 59) dan Marlon Alex
James (minit 74).
Permulaan babak pertama
menyaksikan Pulau Pinang memberikan tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah
walaupun beraksi di depan ribuan penyokong Hijau Kuning.
Pasukan tuan rumah yang
kehilangan khidmat pemain utama, penjaga gol Helmi Eliza Alias, Mohd. Shafizan
Hashim dan Fauzi Shaari yang dipanggil menyertai skuad negara, gagal mencari
rentak sebaliknya diberi tekanan oleh Pulau Pinang.
Hasilnya, selepas mengasak
tanpa henti, Pulau Pinang mengejutkan tuan rumah apabila hantaran Amir Shahreen
Abdul Mubeen disepak masuk Farizal pada minit kesembilan, sekali gus
menyemarakkan lagi semangat skuad pelawat.
Ini menyaksikan dalam satu lagi
kekalutan di depan pintu gol Kedah hasil hantaran Farizal, pemain
pertahanannya, Thirumurugan tertampan bola ke dalam gawang sendiri sembilan
minit kemudian.
Ketinggalan dua jaringan, Kedah
bangkit mencari gol penyamaan dan Fadly berjaya menyumbat gol minit ke-33.
Malang menimpa Pulau Pinang
apabila Farizal diperintahkan keluar padang pada minit ke-37 selepas mengasari
Victor Andrag untuk membolehkan Kedah memberikan tekanan apabila Fadly sekali
lagi menyumbat gol minit ke-44.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zni6wwVM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan