ARKIB : 16/07/2008
KUALA LUMPUR Juara bertahan,
Kedah yang bermain dengan berat hati kerana menangisi pemergian Datuk Ahmad
Basri Akil ke Rahmatullah masih mampu mencipta kemenangan dalam saingan
Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, semalam.
Dikejutkan dengan kematian
tokoh bola sepak terkemuka negeri itu yang meninggal dunia pada pukul 2.30
petang, Kedah terpaksa mematuhi jadual yang telah diatur sebelum menang 5-1 ke
atas Sabah.
Gol-gol Kedah dijaringkan
Marlon James (m-7, 34), Cornelius Huggins (m-10) dan Fadly Baharom m-43, 45)
manakala gol tunggal Sabah dijaringkan David Njoku (m-26).
Kemenangan itu membolehkan
Kedah mencerahkan peluang ke suku akhir dalam usaha mereka untuk meraih
kejuaraan ketiga musim ini selepas kejayaan menjuarai Piala FA dan juara Liga
Super.
Polis Diraja Malaysia (PDRM)
kekal sebagai pendahulu Kumpulan B tetapi memiliki 15 mata sama dengan Kedah
selepas sekadar mampu seri 0-0 dengan Kuala Lumpur di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang.
Saingan Kumpulan A pula
menyaksikan Selangor muncul pasukan kedua selepas UPB-MyTeam mengesahkan tempat
ke suku akhir selepas membenam Kelantan 4-1 di Stadium Shah Alam.
Selangor memperoleh gol
menerusi Indra Putra Mahyuddin yang menyumbang dua gol di samping Shukor Adan
dan Elly Aiboy manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Zairol Fitree.
Bagaimanapun Terengganu masih
terpaksa menunggu sekurang-kurang satu perlawanan lagi untuk menyertai Selangor
walaupun mencatat kemenangan 4-0 ke atas Melaka di Stadium Sultan Mizan Gong
Badak.
Gol-gol Terengganu disumbang
Marzuki Yusof, Zairo Anuar Zailani, Abd. Manaf Mamat dan Wang Md. Aliff Wan
Jasni.
Negeri Sembilan turut mencipta
kemenangan 3-0 ke atas Sarawak di Stadium Tuanku Abd. Rahman Paroi tetapi sukar
untuk ke suku akhir selepas dipotong tiga mata oleh FAM gara-gara tidak
menurunkan pemain bawah 21 tahun ketika menentang Selangor 27 Jun lalu.
Tiga mata itu kemudiannya
diberikan kepada Selangor walaupun pasukan Merah Kuning kalah 0-5 pada
perlawanan di Stadium Shah Alam tersebut.
Perlis dan Perak juga perlu
terpaksa menunggu untuk menyertai UPB-MyTeam ke suku akhir daripada Kumpulan C
walaupun mencatat kemenangan semalam.
Perlis menewaskan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) 4-0 di Stadium Utama Negeri Kangar manakala Perak menang
1-0 ke atas Johor PG di Stadium Perak.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zjwChK8g
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan