Rabu, 29 November 2017

Kedah, Selangor ke separuh akhir

ARKIB : 10/08/2008
Kedah, Selangor ke separuh akhir
KUALA LUMPUR - Ketika juara bertahan, Kedah mudah ke separuh akhir, Selangor berdepan laluan mencemaskan sebelum turut mara untuk meneruskan cabaran memburu Piala Malaysia musim ini.

Dua pasukan yang menjadi pilihan untuk bertemu pada perlawanan akhir pada 23 Ogos ini ternyata melalui laluan berbeza ketika beraksi di suku akhir, semalam.

Kedah mara menerusi agregat 5-0 mengatasi Perak selepas menang lagi 2-0 di di Stadium Perak pada perlawanan suku akhir kedua.

Kedah membuka jaringan menerusi Mohd. Fadly Baharom (m-30) manakala Kyril Muhymeen (m-63) menggandakan jaringan pada perlawanan yang menyaksikan pemain tuan rumah, Mohd. Hardi Jaafar dibuang padang pada minit ke-50.

Selangor pula layak atas ihsan kelebihan gol di tempat lawan apabila seri 3-3 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Sebelum ini kedua-dua pasukan seri 0-0 di Stadium Shah Alam.

Dua sepakan penalti menerusi Frank Seator (m-13, 87) membantu Selangor mara di samping satu gol daripada Shukor Adan (m-56).

Manakala gol PDRM dijaringkan Hillary Echesa (m-20), Nor Farhan Mohamad (m-79) dan Nor Alam Shah (m-80).

Di separuh akhir nanti, Kedah akan bertemu Terengganu yang menang menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 ke atas Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Penjaga gol Terengganu, Mohd. Sarbini Alawee Ramli muncul wira apabila sepakan penalti kelapan daripadanya berjaya memisahkan kedua-dua pasukan.

Selangor pula akan menentang Johor FC yang bangkit daripada kekalahan 1-3 kepada UPB- MyTeam di suku akhir pertama sebelum menang 5-1 pada suku akhir kedua di Stadium Pasir Gudang semalam untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 6-4. Gol-gol Johor FC pada perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan itu dijaringkan Gustavo Fuentes (m-20), Mohd. Nurul Azwan Roya (m-55, 58), Saiful Sabtu (m-110) dan See Kok Luen (m-112).

Manakala gol tunggal UPB-MyTeam dijaringkan Sasa Branezac (m-88). Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat dengan agregat 4-4 selepas berakhir 90 minit permainan sebenar di suku akhir kedua, semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ztAjFCv4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan