Isnin, 27 November 2017

Kedah, Selangor di landasan terbaik

ARKIB : 25/06/2008
 
PEMAIN Kedah, Mohd. Khyril Muhymeen (kanan) cuba diasak pemain Pulau Pinang, Md. Suhaidi Akmal Md. Noor (kiri) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam. Kedah menang tipis 1-0.
- Gambar SHAMSUDIN SALEH

KUALA LUMPUR - Selepas seri pada perlawanan pertama, pasukan pilihan Kedah dan Selangor mengorak langkah kemenangan dalam perlawanan kedua kempen bola sepak Piala Malaysia apabila menang ke atas lawan masing-masing semalam.

Kedah yang masih segar dengan kejayaan mengekalkan Piala FA Sabtu lalu bagaimanapun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam saingan Kumpulan B.

Pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada minit ke-45 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan.

Kedah yang memburu kejuaraan ketiga musim ini, seri 1-1 dengan Polis pada perlawanan pertama 11 Jun lalu.

Di Stadium Shah Alam, Selangor pula gah dengan kemenangan 3-1 ke atas Sarawak selepas sekadar seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan pembukaan Kumpulan A.

Sementara itu di Stadium Darul Makmur, Kuantan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Perak hampa untuk mengikut jejak kemenangan Kedah dan Selangor apabila seri 2-2 dengan Pahang dalam saingan Kumpulan C.

Perak di depan menerusi Ahmad Fakri Sarani (m-23) sebelum Tarik El- Jabary mengikat kedudukan menerusi penalti minit ke-46.

Pelawat kembali di depan menerusi rembatan dari dalam kawasan penalti Razali Uma Kandasamy (m-82) namun bekas pemain kebangsaan Khairudin Omar bangkit dengan gol penyamaan pada minit ke-90.

Dalam saingan Kumpulan C, Perlis tunduk di tempat sendiri di Stadium Utama Negeri, Kangar 1-2 di tangan UPB My-Team.

Sasa Brenezac muncul wira pasukan pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan setelah jaringan pertamanya pada minit ke-36 disamakan oleh penyerang sensasi Perlis, Phillimon Chipeta minit ke-72.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zceSjBVs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan