Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
MOHD. NIDZAM (kiri) bersama
Khairul Helmi pada sidang akhbar semalam menjelang final Piala Malaysia
menentang JDT di Shah Alam malam ini.
PENGENDALI Kedah, Mohd. Nidzam
Adzha Yusoff berharap dapat mencatat sejarah manis dengan menjulang Piala
Malaysia pada musim pertamanya selaku ketua jurulatih sekali gus mengekalkan
trofi keramat itu dalam aksi final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di
Stadium Shah Alam malam ini.
Sebagai rekod, Mohd. Nidzam
pernah menjulang trofi tersebut selaku pemain ketika menyaksikan skuad Helang
Merah berjaya menumpaskan negara jiran, Singapura dalam pentas final edisi 1993
selain bertugas selaku penolong jurulatih kepada Tan Cheng Hoe sewaktu mereka
menang tahun lalu.
Kini, Mohd. Nidzam yang
dilantik sebagai ketua jurulatih selepas membantu Kedah menjulang Piala FA
pertengahan musim ini mengakui cabaran yang besar menanti pasukannya sekiranya
berhajat untuk menjulang trofi ketiga tahun ini.
“Saya akui tanggungjawab yang
lebih berat adalah ketika memikul tugas selaku ketua jurulatih kerana anda
perlu merencanakan setiap strategi dan bersiap sedia dalam mengharungi segala
kemungkinan.
“Situasi berbeza sebagai pemain
kerana kami hanya ditugaskan untuk beraksi dengan cemerlang di atas padang.
Sebagai jurulatih, saya harap aksi final esok (malam ini) akan berakhir dalam
tempoh 90 minit,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.
Sementara itu, Mohd. Nidzam
mengakui skuad Harimau Selatan layak dilabel sebagai pasukan pilihan kerana
mereka memiliki keseimbangan dalam setiap posisi selain beberapa pemain yang
boleh mengubah keputusan perlawanan pada bila-bila masa.
“Sudah tentu saya lihat JDT
sebagai pasukan pilihan kerana jika dilihat pada senarai pemain mereka, cukup
seimbang di semua posisi. Pasukan lawan juga memiliki pemain yang istimewa yang
boleh meledak gol sekiranya pertahanan kami leka.
“Meskipun difahamkan pertahanan
import mereka, Marcos Antonio cedera, saya percaya ia tidak terlalu memberi
kesan kerana berdasarkan statistik, kekuatan dan kualiti sebenar pasukan mereka
terletak di bahagian tengah dan serangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Nidzam
berharap Stadium Shah Alam sekali lagi dapat memberi tuah kepada pasukannya
selepas berjaya menumpaskan Selangor dalam pentas final musim lalu selain
menundukkan Pahang pada perlawanan akhir Piala FA tahun ini.
“Kami memiliki rekod yang baik
di venue ini dan saya harap tuah tersebut akan berterusan apabila kami bertemu
dengan JDT nanti,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4xQueH6bq
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan