MOTIVASI para pemain Kedah
berada pada tahap terbaik untuk memenangi Piala Malaysia menentang JDT di
Stadium Shah Alam malam ini.
KETUA pasukan Kedah, Khairul
Helmi Johari percaya keharmonian dalam kalangan pemain merupakan tunjang kepada
kekuatan pasukannya tetapi mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) layak dilabel
sebagai pasukan pilihan pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam
malam ini.
Menurut tonggak pertahanan
skuad Helang Merah itu, kejayaan melangkah ke pentas akhir kejohanan bola sepak
tertua di Malaysia itu merupakan satu kebanggaan tetapi perbezaan yang dihadapi
kali ini adalah berdepan pasukan juara Liga Super iaitu JDT.
“Sepanjang tiga tahun lepas
kami telah berdepan dengan Selangor sebanyak dua kali di pentas final, manakala
Pahang dalam aksi Piala FA. Namun, final kali ini sedikit berbeza kerana kami
akan berdepan dengan JDT yang saya anggap cukup sempurna dalam kancah Liga
Malaysia.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu
terlalu menghormati pasukan lawan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam
perlawanan akhir. Apa yang penting, semua pemain tidak kira yang dipilih dalam
kesebelasan utama atau berada di bangku simpanan dapat berikan yang terbaik,”
katanya.
Mengulas lanjut, Khairul Helmi
yang juga pemain skuad Harimau Malaya percaya rekod mereka yang tidak kalah
kepada JDT termasuk merampas trofi Piala Sumbangsih awal musim ini mungkin
boleh dijadikan sebagai perangsang buat barisan pemain.
“Saya akui ini adalah medan
terbaik untuk kami membuktikan keupayaan sebenar. Secara jujur, Kedah merupakan
pasukan yang cukup harmoni kerana pemain senior dan junior diberi layanan yang
sama adil khususnya ketika sesi latihan.
“Justeru, motivasi dalam
kalangan pemain juga berada dalam tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi
esok (malam ini) memandangkan rekod kami apabila bertemu dengan mereka musim
ini nampak positif termasuk seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super minggu
lalu.
“Harapan saya dapat membantu
pasukan mengekalkan trofi keramat ini di bumi Kedah kerana meskipun atas
kertas, mereka (JDT) dilihat pasukan yang lebih baik. Saya tetap melihat
perlawanan akan menjadi seimbang,” katanya.
Sebagai rekod, Khairul Helmi
yang bersama skuad Kedah sejak 10 tahun lalu telah menjulang trofi Piala
Malaysia sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu 2007, 2008 dan 2016.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4xQTHBsJx
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan