Selasa, 28 November 2017

Pemergian Basri Akil satu kehilangan

ARKIB : 16/07/2008
Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN
KUALA LUMPUR - Rata-rata pemimpin sukan tempatan menyifatkan pemergian bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil ke Rahmatullah, semalam sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.

Penilaian itu dibuat kerana Ahmad Basri disifatkan sebagai tokoh yang sering memartabatkan kemajuan bola sepak Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahmad Basri merupakan tokoh bola sepak yang gigih dan tidak jemu berjuang untuk melonjakkan lagi kehebatan bola sepak negara.

"Jasa beliau untuk memacukan lagi pencapaian arena bola sepak negara termasuk melalui FAM dan Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) tidak boleh ditandingi individu lain.

"Saya mengkategorikan pemergian beliau sebagai satu kehilangan permata berharga buat Malaysia sendiri," ujarnya.

Allahyarham Ahmad Basri meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang, semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah akibat sakit jantung.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang terkejut dengan kematian Ahmad Basri, menyifatkan rakannya itu sukar dicari ganti.

"Ahmad Basri merupakan tokoh bola sepak bukan sahaja bagi Kedah tetapi buat Malaysia sendiri," jelasnya.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dr. Ibrahim Saad pula mengkategorikan Ahmad Basri sebagai tokoh bola sepak yang mempunyai pendirian dan pendapat yang cukup bernas.

"Beliau mempunyai pegangan yang kukuh apabila menyuara pendapatnya, walaupun kadang-kadang pendirian tersebut tidak disenangi pihak lain.

"Sumbangannya kepada FAM dan Kedah FA amat besar dan ia tidak boleh diperkecilkan mana-mana pihak," tegasnya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula menyatakan, Ahmad Basri adalah pemimpin sukan yang sentiasa sarat dengan idea bernas untuk manfaat bersama.

"Sumbangannya yang ditabur kepada Kedah FA sekian lama sudah semakin kelihatan manfaatnya sekarang," ujarnya.

Jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan memberitahu, antara kelebihan Ahmad Basri ialah ketika menjadi Pengurus Bola Sepak Bawah 20 Tahun Malaysia pada tahun 1999.

"Waktu itu beliau memimpin pasukan dengan baik sehingga meletakkan skuad negara sebagai pasukan remaja yang disegani," ujarnya.

Jurulatih Bola Sepak Perlis, Irfan Bakti juga tidak terkecuali menyifatkan Ahmad Basri sebagai pemimpin yang mempunyai idea bernas.

"Setiap kritikannya terhadap arena bola sepak negara, terutama kepada FAM banyak membantu membangunkan kemajuan bola sepak negara ini sendiri," ujarnya.

Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris yang merupakan bekas pemain kebangsaan pula berterima kasih kepada Ahmad Basri yang banyak berjasa kepada kemajuan bola sepak negara.

"Semasa Ahmad Basri menjadi Pengurus Bola Sepak Sukan SEA 1989, kita berjaya meraih pingat emas tahun berkenaan," ujar Mat Zan yang juga pemain negara ketika itu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zldc8nRK

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan