Ahad, 26 November 2017

'Kedah tidak tertekan'

ARKIB : 20/06/2008
SHAH ALAM - Kedah tidak terasa tertekan akan bermain di tempat lawan biarpun 'kubu' Selangor, Stadium Shah Alam yang dipilih sebagai gelanggang perlawanan akhir bola sepak Piala FA edisi ke-19, esok dan bukannya Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, sebagai juara bertahan, mereka sudah biasa dengan tekanan untuk bermain di mana-mana gelanggang termasuk Shah Alam yang mungkin memberikan kelebihan kepada Selangor.

"Saya yakin ramai penyokong dari Kedah bakal hadir malah mereka yang sudah menetap di Lembah Klang, pasti datang menyokong kami," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan di stadium itu, semalam.

Keyakinan Othman itu turut berpegang pada rekod kehadiran teramai Liga Super musim ini, 60,000 orang di Stadium Shah Alam ketika Kedah menewaskan Selangor 1-0 menerusi jaringan Samransak Kram pada 5 April lalu.

Namun katanya, Kedah lebih selesa dilabel sebagai pasukan bukan pilihan apatah lagi turun tanpa dua tulang belakang importnya, Cornelius Bernard Huggins dan penjaring terbanyak Liga Super, Marlon Alex James.

"Kami mungkin turun dengan barisan yang hampir terbaik tetapi prestasi pemain tempatan termasuk ketika separuh akhir pertama Piala FA di Alor Star tetap meyakinkan kerana masih mampu menundukkan Pahang 4-1," katanya.

Kedah menurutnya, tidak akan berpeluang untuk turun berlatih di Stadium Shah Alam kerana kesuntukan masa dan perjalanan dengan kepadatan jadual perlawanan antara separuh akhir Piala FA dengan Piala Malaysia yang bermula 11 Jun lalu.

"Kami baru balik dari Kuantan (separuh akhir kedua, kelmarin), hanya sempat berlatih di Alor Star dan pasukan hanya akan tiba (hari ini) dan selepas perlawanan akhir, akan bergegas pula ke Pulau Pinang (Piala Malaysia, Selasa ini)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Azzuddin Ahmad berkata, Stadium Nasional tidak dipilih sebagai tuan rumah kali ini kerana pengurusannya terikat kontrak dengan syarikat lain, Axcess Ticket.

Katanya, tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam yang dijual RM40, RM20 dan RM5 (kanak-kanak berusia bawah 12 tahun) cuma diperuntukkan 40,000 keping tetapi bakal dicetak lebih sekiranya sambutan menggalakkan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zc1H9chi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan