ARKIB : 23/06/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PIALA fa berjaya dibawa kembali
ke Kedah dua tahun berturut-turut sejak 2007.
SHAH ALAM - Kejayaan Kedah
mengekalkan dan membawa pulang Piala FA ke bumi Jelapang Padi itu dengan
menewaskan Selangor 3-2, semalam, banyak berpunca daripada percaturan jurulatihnya,
Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menekankan corak permainan pantas dan memburu
gol awal.
Tidak hairanlah Kenari mampu
meraih gol pada minit pertama dan mendahului 2-1 menerusi Fadly Baharom dan
Khyril Muhymeen Zambri sekali gus menggugat rentak permainan Gergasi Merah pada
babak pertama perlawanan akhir persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.
"Bermula dengan corak
pantas memang menepati pelan permainan kami walaupun Selangor sentiasa mencipta
satu suasana perlawanan yang menarik dan hebat," katanya dalam sidang
akhbar selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Malah, anak buah Mohd. Azraai
kian ke depan menerusi gol ketiga daripada Syafiq Jamal untuk memaksa Selangor
bangkit agak lewat sekalipun dengan jaringan minit ke-13 oleh Amirulhadi Zainal
dan sepakan penalti penyerang import, Frank Seator (70).
Katanya, Kedah turut bertuah
mendapat sokongan yang seimbang daripada hampir 20,000 peminat setianya yang
membentuk lautan Hijau Kuning di 'kubu' Merah Kuning selain kehadiran penyokong
nombor satu mereka, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
"Hanya kad merah ke atas Mat
Sabre Mat Abu (minit ke-75) meresahkan kami seketika tetapi mujurlah pemain
mampu bertahan untuk mengekalkan kedudukan itu dalam baki 25 minit
permainan," katanya yang gemar memakai 'baju merah jambu bertuahnya'
hampir dalam setiap perlawanan Kedah.
Pemain pertahanan Kenari itu
dibuang padang oleh pengadil Lee Chong Sheng dari Perak kerana mengasari
penyerang Selangor, Amri Yahya yang mulanya bergandingan dengan Safee Sali di
barisan depan sebelum diturunkan ke sayap kiri pada minit ke-65.
Kedah yang mantap dengan tiga
kemenangan ke atas Selangor sejak Liga Super lagi, kini merapati rekod bergelar
pasukan pertama yang mempertahankan tiga gelaran bagi dua musim berturut-turut
termasuk Piala Malaysia yang bersambung semula, Selasa ini.
Sementara itu, jurulatih
Selangor, Dollah Salleh mengakui aksi anak buahnya sepanjang babak pertama
kelmarin tidak begitu baik terutama barisan belakang yang dengan mudah
melakukan kesilapan tidak sepatutnya dan membuka gol untuk Kedah.
"Kami memang hilang
tumpuan dan rentak dalam 45 minit pertama sehingga Kedah mengambil kesempatan
akibat kelemahan barisan benteng. Di depan, gandingan Amri-Safee pula tidak
menjadi seperti ketika separuh akhir menentang Terengganu, Selasa lalu.
"Masing-masing seperti
bermain secara individu sambil bahagian tengah agak perlahan menyokong
mereka," katanya yang turut terlepas gelaran Liga Super kepada Kedah
kerana anak buahnya kalah 1-0 di Shah Alam, April lalu dan kemungkinan juga
tiket ke Piala AFC 2009 tanpa memiliki Piala FA.
Kata Dollah, kemasukan
Nazrulerwan Makmor yang dipinjam dari KL PLUS mungkin dapat menampung
pertahanan Selangor apabila kembali menghadapi Piala Malaysia memandangkan
pemain import dari Zambia, Evan Chisulo masih gagal menyusun barisan belakang
yang kerap mudah goyah dan tertekan itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4zcSbMwSF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan