ARKIB : 20/08/2008
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
ALOR STAR - Antara Kedah dengan
Selangor, jika dua pasukan ini bertarung, ia pasti mengubah sedikit suasana
muram bola sepak negara yang hala tuju masa depannya semakin bercelaru apatah
lagi kedua-dua gergasi bertemu dalam final Piala Malaysia yang akan berlangsung
di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Kedua-duanya sama hebat jika
sandaran penyokong diambil kira, cuma Kedah mempunyai rekod lebih cemerlang
setiap kali bertemu Selangor termasuk kejayaan paling terbaru, menewaskan
pasukan Lembah Klang itu 3-2 untuk menjuarai Piala FA musim 2007/2008.
Itu cerita Piala FA sedangkan
dalam siri akhir Piala Malaysia, ini adalah kali pertama Kedah sebagai
penyandang juara Piala Malaysia bertemu Selangor dalam perlawanan akhir,
pertemuan ibarat 'buku dengan ruas'.
Bagaimanapun, jurulatih Kedah,
Azraai Khor Abdullah tidak menganggap kedudukan itu sebagai kesukaran buat
skuad bimbingannya memandangkan dalam aksi Liga Super dan Piala FA, Kenari
sudah lama mengenali Red Giants.
''Kita (Kedah) telah
berkali-kali bertemu Selangor, biar apa sahaja perlawanan pun, ia adalah
pasukan sama yang akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia,"
kata Azraai yang telah membawa kejayaan Kedah muncul juara berganda apabila
merangkul gelaran Liga Super dan Piala FA musim 2007/2008, ketika ditemui
selepas sesi latihan skuad Hijau Kuning di Stadium Darulaman, di sini, semalam.
Azraai yang kini memburu
gelaran treble jika berjaya menjulang Piala Malaysia berkata, Kedah kini siap
sedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan akhir
tersebut apabila kesemua pemain mempunyai semangat begitu tinggi.
''Cuma kapten, Victor Andrag
mengalami sedikit kecederaan pada kaki tetapi ia tidak serius dan saya jangka
keadaannya kembali seperti biasa pada hari perlawanan," kata beliau.
Sementara itu, penyerang
sensasi Kedah, Marlon Alex James menyifatkan semua perlawanan melibatkan Kedah
penting dan perlu diberikan tumpuan sebagaimana biasa dalam usaha membawa
kejayaan kepada pasukan berkenaan.
Walaupun ramai mengatakan
bahawa Marlon akan memberikan komitmen luar biasa bagi memastikan hadiah Piala
Malaysia menjadi kenangan terakhir paling bermakna untuknya meninggalkan negara
ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan lagi aksi
pemain import, Marlon berkata:
''Saya profesional, apa sahaja
perlawanan kena beri tumpuan, jadi tidak ada bezanya. Jadi, sudah pasti saya
akan bersama-sama rakan sepasukan bermain sebaik mungkin dalam perlawanan akhir
Piala Malaysia nanti.
''Saya percaya kepada pasukan
(Kedah) dan semua pemain memberikan komitmen tinggi sehingga kami mampu ke
tahap ini. Kedah mempunyai pemain muda yang baik seperti Fadly Baharum, saya
cukup serasi dengan pasukan ini," tambah beliau.
Mengenai kemampuan Selangor,
Marlon menjelaskan, sebagai penyerang beliau tidak mengira pasukan mana
sekalipun dihadapi dan akan memberikan aksi terbaiknya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zu7JkpQH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan