Khamis, 30 November 2017

Perhitungan akhir Selangor- Kedah * Cipta sejarah

ARKIB : 23/08/2008
Oleh SAYED HESHAM IDRIS DAN WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
KUALA LUMPUR – Jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah yakin Kedah akan mengekalkan Piala Malaysia sekali gus mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mencatat kejuaraan ‘treble berganda’ apabila menentang Selangor dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia hari ini.

Beliau berkata, ia bukan impian kosong kerana Kedah memiliki kelebihan untuk melakukannya berdasarkan rekod cemerlang sepanjang musim ini serta prestasi konsisten pasukannya.

‘‘Esok (hari ini) merupakan peluang terbaik untuk Kedah mencipta sejarah memenangi kejuaraan treble berganda selepas kami memenangi tiga piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

‘‘Ia bukan mustahil untuk dicipta dan para pemain Kedah sudah bersedia untuk melakukannya.

‘‘Kami yakin mampu mengulangi kemenangan ke atas Selangor esok seperti mana kami melakukannya dalam perlawanan akhir Piala FA tempoh hari.

‘‘Begitupun saya menghormati Selangor sebagai sebuah pasukan yang mantap dan memiliki ramai pemain berpengalaman.

‘‘Saya juga tetap berhati-hati dengan kebangkitan Selangor sejak kebelakangan ini,’’ katanya pada sidang akhbar praperlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Seperti mana jurulatih Selangor, Dollah Salleh, Azraai juga lega kerana semua pemain Kedah bebas daripada sebarang kecederaan atau penggantungan.

Ini bermakna, setiap posisi pasukan Kedah bakal diisi oleh tonggak utama dengan Azraai menyandarkan harapan di bahu pemain muda.

‘‘Tugas paling penting adalah untuk memastikan pemain di posisi depan dapat menghasilkan gol. itu pada perlawanan esok setiap peluang harus disempurnakan. Bagi saya jika menang 1-0 pun jadilah,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Kedah, Victor Andrag berkata, dia dan rakan sepasukan akan beraksi hari ini dengan keazaman untuk mencipta sejarah merangkul enam piala dalam dua musim.

‘‘Kami mahu membuktikan mampu melakukannya dan berharap kemenangan akan memihak kepada Kedah esok (hari ini),” katanya



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4zvHxe1t9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan